Amaran jika sekolah sorok kes buli, gengsterisme

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil tindakan kepada pihak pengurusan sekolah sekiranya didapati bersikap menyembunyikan fakta berkaitan kes buli dan gengsterisme.


Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, pihak pengurusan sekolah tidak boleh menyembunyikan fakta ini lebih-lebih lagi jika bertujuan untuk menjaga nama baik sekolah masing-masing.


“Kalau ada lagi, saya harap dengan kenyataan ini pihak pengurusan sekolah akan buat laporan, jika kita dapat tahu, tindakan akan diambil kepada pengurusan sekolah,” katanya kepada Dewan Rakyat, bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Dr. Mansor Bin Abdul Rahman (BN-SIK), di Parlimen semalam.


Mansor meminta KPM menyatakan apakah tindakan tegas dilaksanakan KPM dalam usaha menangani isu gengsterisme dan buli dan adakah buang sekolah memadai, serta wujudkan sekolah yang menyembunyikan fakta kes tersebut dalam menjaga reputasi.


Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata, KPM mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP), dalam menangani masalah ini, dengan memberi amaran bertulis, menjalani sesi kaunseling sehingga ke saat akhir dibuang sekolah.


“Ye kita ada buang sekolah, tahun ini seramai 442 pelajar dibuang tapi itu bukan hasrat KPM sebenarnya, kita nak bagi pendidikan percuma kepada semua.


“KPM tidak berniat untuk hancurkan masa depan anak sesiapa pun. Dalam masa kita buang anak itu dari sekolah, kita juga masih mewujudkan peluang kedua dan pelajar bermasalah masih boleh mengemukakan rayuan, dalam tempoh 30 hari boleh buat rayuan untuk cari kaedah lain,” katanya.


Katanya, KPM sentiasa memandang serius dan mengambil langkah proaktif dalam membendung gengsterisme melibatkan murid dan pelajar sekolah.


“Kes-kes yang terlibat telah diambil tindakan sewajarnya sama ada peringkat sekolah mahupun secara undang-undang pihak mahkamah,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]