Amuk, ugut bakar rumah bapa

in Edisi by


KOTA BHARU – Akibat mengamuk dengan memecahkan barangan dan mengugut untuk membakar rumah bapanya, seorang penganggur dihukum penjara dua tahun oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.


Majistret, Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap, Til Misan Mohamed, 33, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikemukakan.


Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin almari perhiasan dan cermin tingkap rumah milik bapanya, Mohamed Awang, 62, menyebabkan mangsa kerugian RM80 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Halban, Peringat, di sini, pada jam 5 petang, 21 September lalu.


Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Pada tuduhan kedua, tertuduh turut didakwa mengugut bapanya dengan mengatakan mahu membakar rumah dan kereta di alamat dan pada masa serta tarikh yang sama.


Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada  seksaan itu, jika sabit kesalahan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Kamarul Hasyime menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan hukuman berkuat kuasa serentak bermula semalam.


Dalam kejadian itu, semasa pengadu berada di ruang tamu rumahnya, tertuduh masuk ke dalam rumah dalam keadaan mengamuk dan mengambil kerusi plastik lalu memukul cermin almari perhiasan hingga pecah.


Tertuduh turut mengambil sebilah besi dan memukul cermin tingkap rumah sambil membuat jenayah ugutan dengan mengatakan mahu membakar rumah dan kenderaan bapanya mengakibatkan mangsa bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarga lain.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]