DOF nafi tular telur ikan beracun

in Edisi Pahang by


TEMERLOH – Jabatan Perikanan (DOF) menafikan berita yang tular di media sosial berkaitan telur ikan tamban beracun.


Menurusi kenyataan media daripada Unit Komunikasi Korporat (UKK) DOF mendakwa, pihaknya mendapati terdapat satu berita yang kini tersebar dalam media sosial mendakwa bahawa terdapat telur ikan beracun yang ditularkan sejak 26 Oktober 2017 lalu.


Menurut kenyataan rasmi itu, berdasarkan gambar yang ditularkan di media sosial, didapati ikan tersebut adalah dari spesies ikan tamban.


“Bahagian Biosekuriti Perikanan dan Institut Penyelidikan Kesihatan Ikan (NaFISH), DOF telah menyiasat kesahihan maklumat seperti yang ditularkan ini.


“NaFISH melalui perbincangan awal bersama Jabatan Perikanan Sabah, FRI Bintawa dan unit makmal biosekuriti negeri-negeri untuk melakukan pra-pemeriksaan sampel ikan di lokasi-lokasi yang mempunyai musim ikan tamban.


“Sampel ikan tamban atau sardin di pasar atau di jeti pendaratan ikan diambil untuk pemeriksaan fizikal warna dan perubahan bahagian abdomen seterusnya dibelah bagi tujuan penyelidikan,” kata kenyataan tersebut.


Menurut kenyataan itu lagi, Unit Biosekuriti Perikanan di setiap negeri juga digerakkan untuk melakukan pemantauan serta mengenal pasti spesies-spesies ikan yang didaratkan.


Katanya, buat masa ini, hasil pemeriksaan dan ujian yang dijalankan oleh pihak biosekuriti negeri-negeri dan juga NaFISH mendapati tiada penemuan ikan seperti yang ditularkan.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]