Enam nelayan, seorang tekong hilang dilaut

in Edisi Utara by


YAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menggerakkan aset laut dan udara bagi operasi mencari dan menyelamat (SARS) enam nelayan dan seorang tekong yang dilaporkan hilang di 13 batu nautika (23.4 kilometer) dari Barat Pulau Bunting, awal pagi tadi.


Timbalan Pengarah operasi, Leftenan Maritim Hairilizhar Norazmi berkata, antara aset yang digunakan ialah Pengalang 35, kilat 7 dan satu bot nelayan tempatan serta satu aset udara CL 415.


“Pihak Maritim menerima panggilan daripada salah seorang waris pada jam 5.50 pagi tadi mengatakan bapanya tidak pulang selepas keluar memancing pada pagi ahad lalu.


“Laporan polis telah dibuat pada jam 9.43 pagi tadi mengatakan mereka yang hilang turun daripada Kuala Sala, Yan,” katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Sala, petang tadi.


Katanya, selepas laporan dibuat, pihaknya terus memulakan operasi kira-kira 14 batu nautika dari lokasi dilapor hilang.


Menurut Hairilizhar identiti dua individu yang hilang telah dikenal pasti iaitu Khairul Anuar Arshad, 39 yang merupakan tekong dan Mohamad Ramli, 57, dari Kulim.


“Kesemua mangsa belum ditemui dan operasi mencari masih diteruskan meskipun keadaan angin yang agak kuat menyukarkan operasi,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]