Hati terusik di musim haji

in Uncategorized by


PANGKOR – Tertarik dengan cara umat Islam menunaikan haji di Makkah mendorong seorang tukang masak berhijrah memeluk Islam sejak 18 tahun lalu.


Muhammad Ashraff Swannchot Abdullah, 67, yang berasal dari Bangkok, Thailand dahulunya pernah bekerja di Makkah dan dapat melihat sendiri suasana ketika musim haji.


Menurutnya yang berkahwin dengan warga tempatan, apabila melihat umat Islam datang dari serata negara untuk menunaikan haji menimbulkan perasaan tidak dapat digambarkan di hatinya.


“Saya pernah bekerja di Makkah satu ketika dulu dan setiap kali musim haji saya pasti melihat suasana umat Islam mengerjakan ibadah haji.


“Ia menimbulkan satu perasaan yang tak dapat digambarkan dan dari situ saya mula tertarik dengan Islam,” katanya ditemui di rumahnya di Jalan Pasir Bogak, di sini.


Dia ditemui ketika program Ziarah Dakwah Saudara Baharu dan menyampaikan sumbangan barangan makanan sempena program Permukiman Menteri Besar di daerah Manjung, baru-baru ini.


Muhammad Ashraff menerima kunjungan Exco kerajaan negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.


Dia yang sudah 30 tahun menetap di negara ini berkata, sejak memeluk Islam dia belajar lebih bersabar walaupun melalui pelbagai kesukaran hidup.


“Saya rasa lebih tenang dan sentiasa mencari peluang untuk meningkatkan ilmu dalam Islam.


“Saya juga sering tertunggu-tunggu tibanya Ramadan kerana mahu menunaikan solat terawih berjemaah,” katanya.


Sementara itu, Mohd Nizar berkata, ziarah dakwah itu bersempena program Permukiman Menteri Besar Perak di Daerah Manjung.


“Sempena program ini, kami bersama Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sudah melakukan ziarah sebanyak 31 keluarga di sekitar Dun Pengkalan Baharu, Pantai Remis, Sitiawan dan Pasir Panjang selain Pulau Pangkor.


“Ini adalah untuk melihat sendiri kehidupan saudara baru ini dan sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada mereka untuk terus mencintai agama ALLAH ini,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]