Lebih 3,600 peserta Desa Keda bakal miliki geran

in Edisi Utara by


BANDAR BAHARU – Lebih 3,600 peserta perumahan Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) di 20 kawasan dalam negeri ini akan menerima geran individu pemilikan tanah yang bernilai RM50,000 menjelang awal tahun depan.


Timbalan Pengurus Besarnya, Kamarudin Abd Akib berkata proses pemindahan hak milik kepada peserta di 20 Desa Keda di seluruh negeri ini telah memasuki fasa terakhir.


“Pihak lembaga pengarah bersetuju menyerahkan¬† geran individu tersebut dan kini, proses mengisi borang pindah milik sedang giat dijalankan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kembara Da’ie 3.0 Ziarah Kasih di Keda Sungai Buluh di sini, hari ini.


Menurutnya, proses pemindahan hak milik ini akan dilakukan secara berperingkat di 36 kawasan terlibat di mana lima daripadanya telah selesai dan 20 lagi sedang dalam fasa terakhir.


“Setakat ini lima kampung termasuk di Sik, Pendang dan Baling telah selesai, manakala 20 kampung sedang dalam proses, dan selebihnya akan dibuat secara berperingkat selepas fasa pertama selesai.


“Kita juga ingatkan peserta perumahan ini supaya mematuhi kriteria yang ditetapkan supaya proses pemindahan hak milik geran individu dapat berjalan dengan lancar,” katanya.


Beliau berkata, penyerahan geran individu ini penting agar penduduk tidak merasa bimbang jika ada perkara berbangkit pada masa hadapan berkenaan status rumah yang didiami mereka itu.


“Penyerahan geran ini sedikit sebanyak dapat melegakan hati peserta di Desa Keda ini, dan tidak perlu risau lagi apabila ia sudah menjadi hak mereka.


“Peserta hanya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM200 hingga RM250 untuk pembayaran cukai tanah dan yuran pindah milik berbanding perlu membayar harga tanah yang sudah mencecah RM50,000 seluas lebih 1,200 meter persegi,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]