Masih banyak kena belajar

in Sukan by


SKUAD hoki remaja negara meraih tempat keempat dalam saingan Piala Sultan Johor 2017, pencapaian yang lebih baik daripada edisi 2016 lalu.          


Namun, impian untuk Malaysia sekurang-kurangnya mengakhiri saingan ketiga terbaik  lebur  apabila tumpas kepada India 0-4 dalam perlawanan klasifikasi tempat ketiga dan keempat di Stadium Hoki Taman Daya, kelmarin.


Ketua jurulatih remaja negara, Wallace Tan berkata, kejohanan ini memberikan pendedahan berguna buat pemain muda negara dalam mengharungi lebih banyak perlawanan selepas ini.


Katanya, pemain telah menunjukkan prestasi terbaik mereka dan berakhir di kedudukan keempat adalah sesuatu yang boleh dipuji berbanding tempat kelima tahun lalu.


“Secara keseluruhan, ada peningkatan daripada pemain. Mereka belajar dan meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Ianya sesuatu yang bagus untuk pemain dan mereka perlu meningkatkan corak permainan mereka secara berterusan.


“Ia juga satu proses pembelajaran yang berguna dan saya yakin input dalam kejohanan ini amat berguna untuk mereka pada masa depan,” katanya.


Mengenai perlawanan menentang India itu, Wallace menyifatkan gol di separuh masa pertama merentap semangat pemainnya untuk cuba mencipta kejutan dalam perlawanan itu.


“Namun, pemain tidak terus mengalah dan cuba bangkit melalui beberapa percubaan. Tetapi, gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang,” katanya.


Dua gol padang awal pasukan India dijaringkan oleh Vivek Prasad pada minit ke-11 diikuti Vishal Antil pada minit ke-15.


Suku kedua permainan, skuad remaja India berjaya menambah dua gol lagi menerusi gol padang hasil tolakan Shilanand Lakra pada minit ke-21 dan Vishal Antil melengkapkan kemenangan pasukannya menerusi satu lagi gol pada minit ke-25.

Skuad negara perlu meningkatkan kualiti permainan supaya setanding kuasa hoki lain.


Australia kekal gah


Australia pula terus gah mempertahankan Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor selepas menumpaskan Great Britain, 2-0, pada aksi final.


Kemenangan ini berjaya menebus kekecewaan perlawanan terdahulu apabila Australia tewas 2-4 kepada lawan pada saingan liga sepusingan, sekali gus menjulang trofi tersebut buat kali kedua berturut-turut selepas muncul naib juara pada edisi sulung pada 2011.


Melakukan pendekatan berbeza dengan rentak permainan pantas, Australia mengejutkan Great Britain dengan jaringan awal minit keempat menerusi pukulan sudut penalti oleh Joel Rintala.


Tersentak dengan jaringan awal itu, Great Britain, yang mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga ke pentas final bangkit untuk melancarkan serangan, namun mendapati percubaan di kawasan penalti lawan sering dipatahkan oleh barisan pertahanan Australia.


Kedua-dua pasukan mengatur gerakan kemas untuk mengelak kesilapan tetapi Australia bertindak lebih berhati-hati dan berjaya menambah gol kedua menerusi jaringan padang oleh penyerang berbisa, Nathan Ephraums pada minit ke-35.


Pada masa sama penjaga gol gantian, Matthew Finn, menjadi wira Australia apabila bertindak cemerlang mematahkan serangan bertali arus jentera  depan Great Britain selepas masuk menggantikan George McGeoch yang cedera seawal minit ke-17.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]