Pembinaan kilang bakal rancak pengeluaran gula apong

in Edisi Sabah Sarawak by


SARATOK – Perusahaan gula apong di Kampung Tambak, Pusa, di sini, bakal dikembangkan dengan mewujudkan kilang pemprosesan bagi menampung keperluan penduduk kampung yang menjalankan perusahaan itu.


Usaha itu sekaligus mampu merancakkan lagi pengeluaran gula apong agar lebih berdaya maju seterusnya melipat gandakan lagi sumber pendapatan penduduk kampung.


Kini terdapat kira-kira 100 pengusaha gula apong yang menjadikan kegiatan perusahaan itu sebagai pendapatan utama mereka.


Salah seorang pengusaha, Manaf Mahmud, 38, berkata, kini para pengusaha gula apong di kampung berkenaan ke arah menubuhkan persatuan agar dapat mengatur perancangan akan datang dengan lebih sistematik.


“Kita kearah untuk buat kilang bagi kembangkan lagi perusahaan ini,”katanya ditemui ketika Program Kembara Batang Lupar 2017, di sini, baru-baru ini.


Program anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu membawa kira-kira 37 penggiat media terdiri daripada wartawan, jurugambar serta blogger dibawa mengenali Parlimen Batang Lupar termasuk potensi ekonomi serta budaya masyarakat di situ.


Dalam pada itu, Manaf yang sudah lima tahun mengusahakan perniagaan gula apong, berkata, jumlah purata pengeluaran gula apong yang diusahakan secara kecil-kecilan kini adalah 20 bekas sehari.


Ujarnya, proses pembuatan yang mengambil tempoh berjam-jam menyebabkan pengeluaran agak terhad.


“Air nira nipah dimasak selama enam jam sehingga kering dan likat untuk proses menjadikannya sebagai gula apong. Sebanyak 20 hingga 100 liter air nira nipah dimasak setiap hari untuk proses berkenaan.


“Kebiasaannya ia dijual dengan harga tiga bekas RM10,”katanya.


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]