Prihatin nasib etnik Rohingya

in Edisi Terengganu by


KUALA TELEMONG – Tabung Sekampit Beras Bantu Rohingya yang dilancarkan di Peringkat Dun Telemong bermula 29 September lalu berjaya mengumpul kira-kira lebih RM11,000 sehingga kini sekali gus membuktikan keprihatinan masyarakat khususnya penduduk di Dun tersebut atas nasib menimpa etnik Rohingya.


Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat berkata, biarpun mungkin tiada sebarang pertalian kekeluargaan dengan etnik berkenaan, namun keprihatinan rakyat Dun Telemong yang dizahir melalui sumbangan menerusi tabung itu membuktikan rasa kekitaan, kasih sayang serta kemanusiaan masih menebal dalam diri penduduk.


“Program kerajaan negeri menerusi skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) bergerak ke setiap Dun, mukim dan kampung bagi memberi peluang kepada rakyat di negeri ini  menghulurkan bantuan untuk etnik Rohingya yang sedang lalui krisis kemanusiaan,” katanya.


Menurutnya, bagi peringkat Dun Telemong, pelancarannya dilakukan di Pasar Tani Kuala Ping sebulan lalu.


“Sebanyak RM11,401.45 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai khususnya penduduk di seluruh kampung dalam Dun ini tanpa mengira sebarang latar belakang,” katanya.


Rozi berkata, itu secara tidak langsung turut membuktikan masyarakat Dun Telemong masih kaya dengan sifat tolong-menolong.


“Tidak hairanlah setiap program dianjurkan dalam Dun Telemong yang melibatkan komuniti atau kemasyarakatan sentiasa berjalan lancar sebagaimana objektif diharapkan.


“Terima kasih atas kecaknaan dan keprihatinan masyarakat Dun Telemong kerana sudi menghulur bantuan bagi meringankan beban etnik Rohingya yang sedang tertindas,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ekspresi Telemongku di Dataran Padang Kachong, di sini, malam kelmarin yang turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Wani Hasrita.


Pada majlis itu, Rozi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri menerima replika cek dengan nilai jumlah kutipan sumbangan berjaya dikumpulkan mengikut mukim dalam Dun Telemong. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang program Kembara Merdeka Dun Telemong 2017 yang diadakan pada Hari Malaysia lalu bermula di Kampung Sekayu.


Program Kembara Merdeka berkenaan melibatkan tiga kategori iaitu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)/Cawangan/ Wanita, Pemuda serta Puteri dan bagi kategori JKKK/Cawangan/Wanita, gelaran juara milik pasukan mewakili Kuala Ping yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM2,000.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]