Saya tak duduk Blair House tapi main golf dengan Trump

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menangkis dakwaan pembangkang bahawa beliau tidak mendapat layanan istimewa ketika lawatan kerja ke Amerika Syarikat (AS), September lalu.


Beliau berkata, Presiden AS, Donald Trump sendiri memberi layanan istimewa secara peribadi kepada beliau.


“Walaupun saya tak duduk di Blair House tapi saya ada jemputan main golf dengan Trump. Beliau juga hantar saya ke kereta.


“Tapi tak perlulah kita sebut-sebut perkara ini sebab ia bukan soal dasar. Apa yang kita pentingkan ialah soal dasar dan kita tetap dapat penghormatan tinggi daripada pentadbiran AS,” katanya dalam sesi Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang bertanya mengapa rombongan Najib tidak menginap di Blair House yang kebiasaannya disediakan untuk tetamu Presiden AS, sebaliknya tinggal di Hotel Trump International ketika lawatan September lalu.


Najib turut menjelaskan jemputan Trump dibuat atas dasar urusan kerajaan dan beliau tidak perlu membayar apa-apa.


“Pendahulu saya telah melakukan perkara tersebut (membayar) untuk mendapatkan jemputan daripada Bush (Presiden AS, George W Bush). Tetapi kita tak amalkan kaedah itu.


“Pendahulu saya telah diterima pembangkang ketika ini, baguslah tu,” katanya yang dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamad.


Sementara itu, menjawab soalan Wan Azizah sama ada Malaysia telah menukar dasar negara, Najib menafikan perkara itu.


“Dasar luar negara kita memang berasaskan kepada soal prinsip fundamental dan kita tidak ubah ikut keadaan. Kita tidak buat u-turn, ada pihak lain suka buat u-turn, dulu setuju sekarang tak setuju.


“Ini biasanya dibuat oleh pihak pembangkang tapi kita konsisten dan istiqamah sepanjang masa. Walau apa jua keadaan, kita tetap pertahankan prinsip kedaulatan negara dan kepentingan nasional,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]