Siasat pembunuhan di Libya!

in Global by


TRIPOLI – SYRIA. Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Libya (UNSMIL) pada Ahad menggesa satu siasatan segera dijalankan ke atas pembunuhan 36 orang berhampiran timur bandar Benghazi, lapor agensi berita China Xinhua.


“UNSMIL menggesa agar satu siasatan segera dijalankan untuk mengheret pelaku ke muka pengadilan,” kata badan dunia itu menerusi media sosial.


“UNSMIL mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kejam ini yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 nyawa melayang dan mayat mereka telah dijumpai di kawasan Abyar,” katanya.


Pusat tentera yang berpangkalan di timur bandar itu pada Sabtu telah mengarahkan agar satu siasatan segera dilakukan berhubung insiden tersebut.


Penduduk pekan Abyar, yang terletak 50 kilometer di barat daya Benghazi, telah melaporkan penemuan 36 mayat tidak dikenali dengan kesan peluru di satu kawasan terbiar, menurut sumber tentera.


Pada Julai 2016, 14 mayat dalam keadaan bergari telah ditemui berhampiran ibu pejabat Dana Keselamatan Sosial Benghazi.


Pada Oktober 2016, 10 mayat tidak dikenali dengan tanda-tanda penderaan dan peluru telah ditemui di penjara tentera Benghazi. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]