Tabung untuk Rohingya berjaya kumpul hampir RM2.2 juta

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Tabung Terengganu Untuk Rohingya-Sekampit Beras Untuk Rohingya yang diwujudkan sejak September lalu, berjaya mengumpul hampir RM2.2 juta, melepasi sasaran awal kutipan iaitu RM1 juta.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia adalah satu perkembangan baik, menunjukkan keprihatinan dan rasa tanggungjawab terhadap penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya.


Menurutnya, sumbangan yang telah dikumpul itu akan diserahkan oleh peserta Misi Kemanusiaan Terengganu Untuk Rohingya yang akan ke Kem Pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh dalam masa terdekat.


“Saya sendiri dan sukarelawan TTB akan bersama-sama ke Bangladesh, untuk menyampaikan sumbangan ini dan melihat sendiri penderitaan mereka. Kita akan bantu setakat yang termampu.


“Buat masa ini, kita masih menunggu lampu hijau daripada Wisma Putra untuk ke sana kerana ia melibatkan keselamatan. Jumlah peserta yang akan turut menyertai ini juga belum diputuskan, kita akan melihat nasihat dan panduan yang dikeluarkan Wisma Putra,” katanya selepas menjayakan Malam Terengganu For Rohingya yang berlangsung di Stadium Negeri di sini, malam tadi.


Majlis itu berjaya menarik lebih 5,000 hadirin dan turut dimeriahkan dengan persembahan Opick, penyanyi lagu ketuhanan terkenal Indonesia.


Ahmad Razif turut membuat persembahan khas iaitu mendeklamasikan sajak yang bertajuk ‘Mereka Yang Ku Lihat Asing Di Tanah Sendiri’.


Sementara itu katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan daripada Mercy Malaysia untuk melihat apa keperluan yang perlu dibawa ke sana, baik dari segi kesihatan atau sumber lain.


“Kita juga akan dapatkan pandangan daripada Mercy Malaysia bentuk bantuan terbaik, sama ada penyerahan wang tunai atau berbentuk barangan.


“Setakat ini, Terengganu negeri pertama yang melakukan program seumpama ini. Jadi, kita harap ini menjadi perintis dan mendorong negeri lain dan pihak di luar sana untuk bersama-sama membantu etnik Rohingya yang tertindas ini,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]