Tak sempat nak merempit

in Edisi by


BUTTERWORTH – Hasrat sekumpulan mat rempit untuk berlumba sesama sendiri di sekitar Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, semalam terbantut apabila kegiatan haram mereka itu digagalkan polis dalam Op Lejang, awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, Operasi Lejang dan Samseng Jalanan itu dijalankan melibatkan 74 anggota terdiri daripada 11 pegawai dan 61 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara serta dua anggota Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).


“Operasi itu dijalankan bermula jam 9 malam dan berakhir jam 7 pagi tadi (semalam).


“Dalam operasi itu, sebanyak 210 motosikal diperiksa, manakala 210 warga tempatan diperiksa,” katanya.


Menurutnya, dalam operasi itu juga, polis berjaya mengesan pelbagai kesalahan trafik.


“Sebanyak 185 saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik terlibat dan antara kesalahan yang dikenali pasti adalah lesen memandu tamat tempoh, gagal menunjukkan lesen memandu dan tiada cermin sisi.


“Selain itu, ada di antara mereka yang diperiksa didapati tiada nombor pendaftaran, nombor plat tidak mengikut peraturan, tidak mempamerkan pelekat L atau P, tiada lesen memandu, ubah suai ekzos, nombor plat fancy dan lesen memandu tamat tempoh,” katanya.


Noorzainy berkata, selain saman yang dikeluarkan, polis juga turut menahan seorang individu terlibat dalam curi motosikal.


“Dalam operasi ini juga sebanyak 21 motosikal disita polis,” katanya.


Katanya, operasi dijalankan bertujuan untuk mengekang aktiviti samseng jalanan daripada terus berleluasa.


“Ia diadakan bagi memastikan masalah sosial dan kegiatan tidak sihat dalam kalangan golongan muda diatasi dengan adanya operasi sebegini.


“Pada masa sama ia juga secara langsung dapat mengesan kes melibatkan kegiatan curi motosikal,” katanya.


Jelasnya, operasi sebegini akan dijalankan berterusan dengan lebih efisien.


“Pihaknya akan sentiasa komited dalam menjalankan operasi sebegini yang mana ia ke arah membanteras kegiatan tidak sihat dalam kalangan golongan muda.


“Ia juga bagi memastikan pengguna jalan raya di lokasi tersebut berasa selamat ketika dalam pemanduan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]