Teruja jumpa novelis thriller nombor satu Malaysia

in Nasional by


SHAH ALAM – Jualan Gudang Karangkraf akhir tahun 2017 hari ketiga semalam, dimeriahkan dengan sesi temu mesra novelis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid bersama peminat.


Ketua Eksekutif Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid (RAM), Noor Syeila Mohd Din berkata, lebih 300 peminat novelis tersebut berpeluang mendapat kan tandatangan dan cop kelab daripada novelis tersebut.


“Sejak dari jam 11 pagi, tak putus-putus peminat RAM beratur, dan semua pengunjung berpeluang untuk bergambar dan beramah mesra walaupun berlangsung dalam masa yang singkat,” katanya.


Menurutnya, memandangkan jadual RAM padat dan sekiranya tiada perubahan saat-saat akhir, sesi bertemu peminat hanya berlangsung semalam sahaja.


Namun sepanjang jualan gudang berlangsung, pengunjung masih boleh menambah koleksi karya RAM pada harga menjimatkan.


“Rata-rata peminat yang datang membeli koleksi Tombiruo: Penunggu Rimba. Ada yang berkongsi keseronokan baca novel, dan ada yang memuji filem tersebut, kami cukup menghargai sambutan peminat,” katanya.


Jelas Noor Syeila, inisiatif RAM bertemu peminat ini dirangka sendiri kelab, memandangkan ramai yang teruja untuk mendapatkan tanda tangan penulis tersebut, lebih-lebih lagi selepas filem ditayangkan.


Turut memeriahkan acara, dua novelis tidak asing lagi dalam kalangan peminat buku terbitan Grup Buku Karangkraf (Alaf 21) iaitu  Zan Zarida dan Murni Aqila.


Zan Zarida mempromosikan karya terbarunya Dia My Love, manakala Murni bersama koleksi cetakan kedua, Isteri Acah-acah.


“Sambutan untuk judul terbaru cukup menggalakkan. Ini kali kedua saya turun mempromosikan sendiri setelah kejayaan di pesta buku antarabangsa yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) lalu.


“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, satu pencapaian membanggakan apabila diulang cetak buat kali kedua,” katanya.


Zan Zarida berkata, selama tiga hari berlangsung, permintaan terhadap Dia My Love begitu menggalakkan.


Pengunjung yang datang juga berpuas hati dengan penganjuran kali ini kerana diadakan dalam suasana dewan berhawa dingin.


Pengunjung, Rozita Abd Rashid ketika ditemui berkata, susunan buku yang rapi mengikut genre memudahkan pembeli mencari judul di samping buku masakan, kewanitaan dan motivasi.


“Peluang sebegini bukan bukan sahaja boleh mendidik masyarakat minat membaca, tetapi semua pihak mendapatkan bahan bacaan pada harga berpatutan,” katanya.


Selain beli bahan bacaan, orang ramai juga berpeluang menderma dalam program Wakaf al-Quran al-Karim.

Kaunter program Wakaf al-Quran al-Karim tidak lengang. – Foto Sinar Harian oleh Asril Aswandi Shukor


Pada sebelah petang, diadakan demonstrasi masakan bersama Chef Khairul Hakimin Muhammad.


Lebih penjimatan juga disediakan kepada ahli kad VIP Karangkraf. Sehingga jam 2 petang, kira-kira 200 ahli baharu mendaftar sebagai pemegang VIP Karangkraf.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]