Adun Tanjung Bungah tetap akan tinggalkan DAP

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Adun DAP, Teh Yee Cheu yang sering menyuarakan bantahan ke atas partinya itu tetap dengan pendiriannya akan meninggalkan parti demokratik tersebut sebaik Dun dibubarkan.


Adun Tanjung Bungah berkenaan mengulangi keputusannya itu dengan berkata, beliau mula berfikir untuk meninggalkan parti itu sejak 2013 kerana dasar kepimpinan parti tersebut.


“Saya mula berfikir untuk meninggalkan DAP sejak empat tahun lalu kerana banyak isu yang gagal diselesaikan antaranya isu transgender, had penggiliran jawatan ketua menteri, pembangunan bukit, Rancangan Tempatan Pulau Pinang dan Pelan Struktur.


“Sekarang, selepas terlalu banyak insiden, terutamanya kejadian tanah runtuh baru-baru ini, saya rasa terdapat perbezaan dalam ideologi dasar parti, di mana saya tidak lagi melihat amalan sosialis dalam DAP seperti sebelum ini,” katanya dalam sidang media tadi.


Yee Cheu menambah, setakat ini, beliau tidak terfikir untuk menyertai BN atau parti pro BN yang lain.


Beliau juga tidak bercadang untuk menyertai parti lain termasuk parti komponen Pakatan Harapan.


“Untuk tidak menimbulkan sebarang kebimbangan dalam DAP, saya juga mengambil keputusan bahawa tidak akan bertanding sebagai calon bebas,” katanya.


Yee Cheu sebelum ini digelar Adun DAP kontroversi apabila dua kali membawa usul agar jawatan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal dalam Sidang Dun namun usul tersebut ditolak kerana dikatakan terdapat masalah teknikal.


Beliau kemudiannya sekali lagi bertindak drastik apabila menyokong usul BN mengenai projek tambak laut di negeri ini.


 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]