Amanah kecewa Kerajaan Johor membisu isu sungai

in Edisi Johor by


KULAI – Amanah Johor mendakwa kecewa apabila tiada tindakan serius diambil oleh Kerajaan Negeri Johor berhubung pencemaran sungai di negeri itu.


Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, sebelum ini, pihaknya mengemukakan aduan terhadap masalah tersebut, namun sehingga kini, tiada pihak tampil menyelesaikan permasalahan tersebut.


Menurutnya, berdasarkan tinjauan, terdapat banyak pusat ternakan ayam di sekitar sungai yang menjadi sumber bekalan air di Johor.


“Sebahagian sisa kumbahan ternakan telah dilepaskan ke parit berdekatan seterusnya megalir masuk ke dalam sungai.


“Kumbahan ternakan ayam diproses secara haram dibelakang sebuah tempat penternakkan ayam. Kami dapati terdapat benteng kawasan kumbahan ternakan yang pecah dan sisa kumbahan dalam kuantiti yang banyak masuk ke dalam parit berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pihaknya juga mengadakan program turun padang ke Sungai Sayong bagi tujuan mendapatkan maklumat tepat berkenaan dengan aduan catuan air yang berpunca dari pencemaran air sungai yang serius sehingga beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di sekitar Johor terpaksa dihentikan operasi.


“Pemberhentian operasi LRA tersebut memberi kesan sepanjang tiga hari bermula dari 28 Oktober sehingga 30 Oktober lalu yang membabitkan catuan air di kawasan selatan Johor dan daerah Kluang.


“Kawasan tanaman kelapa sawit lebih kurang tiga ekar di sekitar tempat kumbahan ternakan ayam telah dipenuhi dengan sisa kumbahan. Dipercayai telah beroperasi belasan tahun. Keadaanya sangat menjijikan dan berbau busuk,” katanya.


Aminolhuda pada masa sama meminta PBT serta Pejabat Tanah dan Galian untuk bertindak tegas memastikan semua penternak ayam, kilang kelapa sawit dan petani sekitar sungai mematuhi peraturan yang ditetapkan.


“Kami benar-benar merasa dukacita dengan keadaan yang berlaku kerana sebelum ini telah banyak kali dibangkitkan oleh pihak Amanah.


“Tindakan tegas perlu dikenakan kepada yang ingkar. Pihak berkuasa perlu memantau dengan lebih kerap dikawasan terlibat. Semua pihak perlu mengikut peraturan ditetapkan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]