Bapa perlu RM2,400

in Edisi Utara by


JITRA – Seorang bapa memerlukan kira-kira RM2,400 bagi membeli sebuah power bank bagi mengecas mesin sedut kahak yang digunakan anak sulungnya.


Lew Kai Chun, 25, berkata, anaknya, Lew Yi Jie, 19 bulan bergantung kepada mesin sedut kahak selama 24 jam sejak dilahirkan.


“Anak saya tak normal seperti kanak-kanak lain, tumbesaran dia pun terbantut, susu pun terpaksa minum melalui tiub,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Taman Indera, di sini, semalam.


Menurutnya, power bank terbabit diperlukan untuk memastikan mesin kahak tetap berfungsi biarpun ketika bekalan elektrik terputus.


“Bila elektrik tak ada, anak saya tak dapat bernafas dengan baik dan mula sesak nafas. Jadi, saya terpaksa bawa anak ke Hospital Jitra atau Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk sedut kahak.


“Kalau hari saya cuti tak apa lah, kalau hari saya kerja, macam mana nak bawa pi hospital, sebab kadang-kadang saya kerja luar kawasan,” katanya.


Kai Chun berkata, isterinya juga tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anak mereka di rumah.


“Yi Jie memerlukan penjagaan rapi sebab dia bergantung pada susu khas yang diberi minum lapan kali sehari.


“Isteri saya pula baru melahirkan anak kedua kami sebulan lalu, jadi sekarang sebelum saya pergi kerja, saya hantar dia dan anak-anak ke rumah ibu dulu,” katanya yang bekerja di sebuah kedai cermin dan aluminium di sini dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.


Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada Kai Chun boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0200241000182542 atas nama Lee Ai Li dan Lew Yi Jie atau terus menghubungi Kai Chun di talian 018-9466538.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]