'Berkempen jangan terkeluar landasan Islam'

in Politik by


SEBAGAI calon beragama Islam yang mewakili sesebuah parti, individu itu perlu tahu cara berkempen berlandaskan syariat Islam sebenar.


Pendakwah, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, setiap calon perlu tahu kaedah betul bagi mengelakkan kemudaratan kepada calon atau pengundi.


“Pertama sekali dalam berkempen, ketengahkan isu yang paling releven. Kempen yang berhemah dan bertanggungjawab ialah memaklumkan kelebihan yang mampu parti kita bawa.


“Contohnya daripada dasar keagamaan, pendidikan, pembangunan, pengurusan kewangannya dan lain-lain. Itu adalah teknik yang dibuat oleh demokrasi negara maju. Ini juga kempen yang bertepatan dengan Islam,” katanya.


Perkara kedua katanya, mendedahkan kelemahan pihak lain dan tidak amanah dalam mentadbir harta awam.


“Itu juga masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan sebagaimana dalil hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud; ‘Tolonglah sedara kamu yang zalim dan dizalimi’.


“Jadi para sahabat tanya macam mana nak bantu sedara kita dizalimi? Jawapannya adalah dengan menyekat dia daripada terus berada di sesebuah tempat dan jawatan.


“Maka harus kita mendedahkan kelemahan calon yang lain daripada sudut kemampuan dia mentadbir kalau dia pentadbir sedia ada. Kalau dia bukan, maka kita dedahkan dia tidak layak dari sudut itu dan ini untuk menjadi wakil rakyat,” katanya.


Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) berkata, dalam keghairahan berkempen, seseorang calon itu tidak boleh terkeluar daripada landasan Islam dengan menyebarkan keburukan peribadi dan kesalahan silam calon lain.


Beliau turut memberi contoh seperti calon itu pernah mencuri ketika muda, terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ketika di bangku sekolah, minum arak di usia muda dan sebagainya.


“Kita tidak boleh buat andaian dia belum bertaubat lalu menjadikannya sebagai cercaan. Mungkin dia sudah bertaubat. Jadi kita tidak dibenarkan menggunakan isu sedemikian.


“Kalau benda itu fitnah, sudah tentu besarlah kesalahannya. Kalau benda yang betul pun tidak boleh kerana itu urusan dia dengan ALLAH. Tapi kalau kesalahan individu yang melibatkan harta awam, contohnya dia pernah terima rasuah untuk sesebuah kontrak secara salah, maka itu masih dalam ruang lingkup yang diharuskan untuk didedahkan kerana melibatkan kepentingan awam,” katanya.


Zaharuddin berkata, beliau mengakui ada ahli politik cuba berhujah dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud ‘Peperangan itu penuh dengan tipu daya’.


“Jadi ada sebahagian orang cuba menghalalkan tipu daya yang mereka namakan strategi pilihan raya, contohnya dengan sengaja memfitnah sebagai teknik perang saraf. Mereka kata itu sebahagian daripada peperangan.  


“Orang ini sengaja menyelewengkan kefahaman hadis berkenaan. Malah Nabi Muhammad SAW sendiri, walaupun Baginda menyebut dalam konteks peperangan yang betul, ia taktikal perang. Ini pilihan raya bukan taktikal perang angkat senjata untuk bunuh orang lain,” katanya.


Jelasnya, dalam sabda Nabi itu, walaupun disebut tipu daya, ia tetap tidak mewujudkan fitnah terhadap individu lain dengan niat untuk menjatuhkan lawannya.


“Cuma Nabi menggunakan konsep tauriyah iaitu mengucapkan suatu kalimah yang jelas, sedangkan yang dimaksudkan adalah makna lain yang masih terkandung di dalam kalimah tersebut. Itu adalah tekniknya. Nabi bercakap dengan jelas dan tidak menipu,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]