Dakwaan pembangkang hanya cerita dongeng

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Dakwaan pembangkang yang menjaja kononnya terdapat kira-kira 300,000 kaum India di negara ini yang terabai dan teraniaya tanpa memiliki hak kewarganegaraan, terbukti tidak benar menerusi kempen Mydaftar Mega yang dilaksanakan kerajaan.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dakwaan tersebut hanyalah pembohongan semata-mata memandangkan hanya kira-kira 2,500 sahaja permohonan yang diterima daripada kaum India di negara ini yang tidak memiliki kewarganegaraan termasuk mereka yang lahir sebelum kemerdekaan negara serta kelahiran tidak didaftarkan.


“Menerusi inisiatif MyDaftar yang masuk ke segenap pelosok, selongkar di segenap negeri dan cari di serata tempat, tidak ada 300,000 ‘stateless Indian’ sebagaimana yang diuar-uarkan, sampai ke Parlimen Westminister dijaja bahawa kita aniaya kaum India di negara ini.


“Ini cerita dongeng, yang kita dapat hanya 2,500 permohonan sahaja… cerita tidak betul, sama macam cerita kita bawa masuk 40,000 pengundi Bangladesh pada pilihan raya yang lalu, juga sama cerita negara akan bankrap, banyak cerita auta dan tidak berasas seperti diuar-uarkan itu,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan kewarganegaraan kepada kaum India di sini, hari ini.


Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri  Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan pemimpin parti mewakili kaum India termasuk Parti Progresif Penduduk ( MyPPP),  Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF)  dan Makkal Sakti. –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]