Jimmy Choo pilihan Puteri Diana

in Bisnes by


JENAMA Jimmy Choo bukan asing lagi bagi penggemar fesyen di seluruh dunia.


Di sebalik pembuatan kasut berkualiti, nama pengasasnya, Datuk Jimmy Choo Yeang Keat turut menjadi sebutan dan sumber inspirasi kepada ramai usahawan.


Dilahirkan pada 1961 di Pulau Pinang,  beliau berasal dari keluarga yang sememangnya berkemahiran dalam bidang pembuatan kasut. Beliau mendapat pendedahan awal mengenai teknik pembuatan kasut daripada bapanya yang merupakan tukang kasut sepenuh masa.


Beliau mula menghasilkan kasut pada usia 11 tahun dan minat tersebut semakin sebati dengan dirinya. Minat tersebut juga mendorongnya membuka kedai kasut sendiri, walaupun pada mulanya ia kurang memberangsangkan.


Namun setelah empat tahun bertungkus-lumus, hasil rekaan beliau mula mendapat liputan di majalah Vogue, sebuah majalah fesyen terkenal di UK dan sejak itu nama Jimmy Choo mula dikenali.


Jenama itu semakin mendapat sambutan setelah mendapat perhatian mendiang Puteri Diana yang menjadikan jenamanya koleksi sendiri sekitar tahun 1990.


Ketika itu, Puteri Diana menjadikan kasut Jimmy Choo sebagai kasut kegemarannya dan memakainya hampir ke mana sahaja majlis yang dihadiri.


Bertitik tolak dari situlah, nama Jimmy Choo terus melonjak di persada antarabangsa.


Pada tahun 1996, beliau mengasaskan Jimmy Choo Ltd bersama Tamara Mellon, editor British Vogue. Dan pada April 2001, Choo menjual pegangan 50 peratus dalam syarikat kepada Equinox Luxury Holdings Ltd, untuk menumpukan kerja-kerja yang dilakukan pada Jimmy Choo Couture yang dihasilkan di bawah lesen daripada Jimmy Choo Ltd.


Kini jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan, serta menjadi kegilaan artis dan selebriti di serata dunia.


Sepasang kasut wanita dijual sehingga mencecah beribu-ribu dolar AS.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]