Kereta terbakar ketika sedang memandu

in Edisi by


AYER LANAS – Seorang kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli bernasib baik apabila sempat menyelamatkan diri sebelum kereta jenis Naza Citra yang dinaiki terbakar di sini.


Ketika kejadian, mangsa, Fauzi Ibrahim, 40, dikatakan dalam perjalanan pulang dari menghadiri mesyuarat di PPD Tanah Merah.


Abang ipar mangsa, Mohd Asri Ghani berkata, bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian, mangsa melihat isyarat daripada pemandu lain memaklumkan kewujudan api pada kereta berkenaan.


“Mangsa terus memberhentikan kenderaannya dan turun untuk menyelamatkan diri. Kereta tersebut terbakar sebaik mangsa turun, alhamdulillah tiada kemalangan jiwa,” katanya kepada media di sini, hari ini.


Mohd Asri berkata, bapa kepada lima anak itu bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun mengakui masih terkejut dengan kejadian menimpa memandangkan kereta berkenaan digunakan hampir setiap hari untuk ke tempat kerja.


“Kerugian dianggarkan antara RM20, 000 hingga RM25, 000,” katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohamad Shahril Mohamad Sa’aid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira- kira jam 1.28 petang.


Menurutnya, dengan kekuatan lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ramli Abdullah dan satu jentera, pihaknya ke lokasi kejadian dan tiba 15 minit kemudian.


“Kerja- kerja memadam kebakaran terus dilakukan dan api berjaya dikawal dalam masa lima minit,” katanya.


Mohamad Shahril berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa, pemanduannya sedikit terganggu dalam jarak antara tujuh hingga lapan kilometer dari tempat kejadian.


“Mangsa memberhentikan kenderaannya dan mendapati api sedang membakar bahagian enjin keretanya. Beliau kemudian menghubungi talian 999 untuk melaporkan tentang kejadian, ” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]