Maklum wartawan mahu bunuh diri

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Sempat hubungi wartawan dan memaklumkan mahu membunuh diri di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, malam kelmarin.


Itu tindakan seorang lelaki apabila dia menghubungi seorang wartawan akhbar berbahasa Cina di sini sebelum mengunci dirinya di dalam kereta.


Wartawan terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Lee Ling berkata, dia yang curiga dengan panggilan diterimanya itu segera menghubungi pasukan peronda sukarela (PPS) dan polis bagi memaklumkan perbuatan lelaki berkenaan.


Menurutnya, lelaki berkenaan memaklumkan dia mengalami tekanan perasaan dan mahu menghabiskan nyawanya di dalam sebuah kereta yang telah diletakkan di hadapan IPD Seberang Perai Tengah.


“Saya segera hubungi PPS dan polis sebelum terus bergerak ke lokasi kejadian. Sebaik tiba di hadapan IPD Seberang Perai Tengah, saya menjumpai kereta dimaksudkan lelaki berkenaan dan mendapati dia tidak sedarkan diri di dalam kereta terbabit.


“Polis terpaksa memanggil pasukan bomba bagi memecahkan cermin kereta terbabit. Lelaki berkenaan yang masih tidak sedarkan diri terus dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Menurutnya, lelaki berkenaan dipercayai telah minum minuman keras berlebihan sebelum bertindak mengunci dirinya dalam kereta.


“Menurut laporan perubatan yang diterima, lelaki berkenaan pernah menerima rawatan mental selama dua minggu dan kini dia masih di bawah pengawasan doktor sebelum dihantar ke Unit Psikiatri di Hospital Jalan Perak.


“Hasil semakan, lelaki berkenaan mempunyai satu rekod lampau atas kesalahan ugutan jenayah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]