MB Johor rakam takziah kematian Muhammad Ali

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin bagi pihak kerajaan negeri merakamkan takziah di atas pemergian bekas Presiden Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang meninggal dunia, petang tadi.


Mohamed Khaled menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negeri Johor malah tanah air kerana beliau merupakan tokoh korporat dan usahawan Melayu kelahiran Johor yang berwibawa dan banyak berjasa.


“Keupayaan dan sumbangan Allahyarham tidak boleh dinafikan. Beliau telah menerajui JCrop selama lebih 28 tahun dan di bawah kepimpinannya, JCorp berjaya dibina hingga menjadi antara konglomerat utama negara.


“Allahyarham juga banyak menyumbang bakti dalam pembangunan prinsip perniagaan Islam dan ia telah memberi impak positif yang cukup signifikan bagi memajukan prinsip tersebut, antaranya melalui instrumen Waqaf Korporat,” katanya dalam satu kenyataan.


Beliau turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang dikasihiNYA.


Allahyarham yang juga Ketua Eksekutif JCorp dilaporkan meninggal dunia pada usia 67 tahun kira-kira jam 3.30 petang tadi di Hospital Pakar Damansara.


Jenazahnya akan disembahyangkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Isyak.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]