Menangis tengok rumah baharu

in Edisi by


REPEK – Meskipun mata bengkak berair mata, dua beranak di Kampung Serongga tidak dapat menyembunyikan raut wajah gembira ketika menerima rumah baharu, semalam.


Hasnah Daud, 49, berkata, selama ini, dia risau menerima tetamu di rumah kerana bimbang mereka mungkin tercedera akibat lantai tidak kukuh.


“Jika tak pelawa, macam tak beradab, tapi jika jemput naik rumah, mereka mungkin jatuh sebab lantai reput.


“Sekarang saya dah tak risau, sebab Islamic Relief Malaysia (IRM) banyak bantu ringankan beban mendapatkan bantuan rumah dalam masa singkat,” katanya.


Malah Hasnah berkata, ia turut memberi semangat kepada anak bongsunya, Syahira Bahari, 12, yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.


Sementara itu, Jurutera Jualan Kanan UAC Berhad, Mohd Saifuddin Hassin berkata, sempena program komuniti bersama IRM, UAC menyumbang bahan binaan berasaskan simen fiber antaranya bumbung, lantai dan dinding kayu bagi pembinaan rumah Hasnah.


Menurutnya, rumah yang berjaya disiapkan dalam masa tiga minggu ini turut menerima bantuan tenaga kerja Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


“Sesuai dengan matlamat kami dalam industri pembinaan teknologi baharu, kami lebih kepada konsep menurunkan kos, pembinaan pantas, kualiti lebih baik, mengurangkan penggunaan intensif buruh dan produk mesra alam sekitar.


“Namun ia tidak menjejaskan kualiti bangunan dihasilkan sebaliknya, rumah baru ini dibina dua kali lebih besar dari asal,” katanya.


Walaupun masih tertumpu pada aktiviti perniagaan, Saifuddin berkata, tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat adalah membantu golongan tidak bernasib baik.


September tahun lalu, Sinar Harian melaporkan kesulitan dihadapi Hasnah dan anak bongsunya yang terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik dan air bersih hampir 24 tahun.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]