Minta maaf atau berdepan tindakan undang-undang

in Nasional by


PUTRAJAYA – Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau akan memulakan tindakan undang-undang terhadap  Raja Petra Kamarudin jika penulis blog itu enggan memohon maaf berhubung satu artikel mengenai dakwaan rasuah.


Walaupun tidak menetapkan tempoh masa untuk penulis blog itu meminta maaf, Mohamed Apandi berkata beliau tidak akan memberi masa yang lama kepada Raja Petra untuk berbuat demikian memandangkan isyarat dan ingatan sudah disampaikan melalui media.


“Jika tiada permohonan maaf daripadanya, saya pasti akan saman dia. Bagaimana dia boleh cemarkan nama saya? Saya tidak kenal pun dia. Ini reputasi saya,” katanya pada sidang media di Pejabat Peguam Negara, di sini hari ini.


Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan wang tunai kepada waris 23 mangsa yang terkorban dalam kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara pada 14 September lalu.


Pada 22 Oktober lepas, Mohamed Apandi membuat laporan polis terhadap  Raja Petra atas dakwaan jenayah fitnah.


Raja Petra memuat naik dua artikel yang mendakwa Mohamed Apandi terlibat dalam aktiviti berkaitan rasuah. Dua artikel terbabit yang bertajuk  ‘Strong Rumours Surrounding the AG: Part 1 and Part 2’ diterbitkan menerusi blognya Malaysia Today pada 20 dan 21 Oktober lepas.


Mengulas perkembangan lain, Mohamed Apandi berkata pindaan terhadap  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 akan dibentangkan di Dewan Rakyat  tidak lama lagi.


Apabila ditanya bila akta baharu itu akan berkuat kuasa, beliau berkata: “Dalam masa terdekat.”


Katanya beliau memberi taklimat kepada Kabinet mengenai pindaan itu selepas hakim menyatakan yang mereka terpaksa menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh memandangkan tiada hukuman lain yang diperuntukkan.


“Saya berbincang dengan kerajaan untuk menjadikan undang-undang (itu) lebih fleksibel. Ini akan membolehkan hakim mengenakan hukuman yang lebih sesuai berdasarkan budi bicara mereka.


“Kami sedang menggubal undang-undang yang membenarkan budi bicara hakim. Kami mahu mengenal pasti siapa yang patut digantung sampai mati dan siapa yang tidak.


“Ada kes keldai dadah, mereka lakukannya demi wang. Mereka tidak tahu apa yang mereka bawa, justeru mereka mungkin dimasukkan dalam kategori yang tidak akan dijatuhi hukuman mati manakala pengedah dadah memang layak dikenakan hukuman mati,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]