Nafi tular Empangan Pedu di paras amaran

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Takungan Empangan Pedu mencatatkan bacaan takungan semasa, 95.48 meter (m) atau sebanyak 88.58 peratus takungan, di mana ia terkawal dan bukan paras membahayakan.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), setakat 11.00 pagi, kedudukan takungan aras air di Empangan Pedu adalah 2.05m menghampiri ketinggian air sebelum mencapai paras melimpah.


“Paras penuh Empangan Pedu adalah 97.54m. Ini menunjukkan kedudukan takungan air masih lagi terkawal dan berada dalam keadaan selesa untuk mencapai tahap 100 peratus takungan penuh,” katanya.


Sehubungan itu, Mada menafikan maklumat yang tular di media sosial mendakwa paras takungan Empangan Pedu telah melepasi paras amaran.


“Maklumat yang disebar oleh sumber selain Mada adalah tidak tepat. Status Empangan Pedu terkawal, dengan takungan semasa 2.05m menghampiri paras penuh,” katanya.


Air dari Empangan Muda dialirkan ke Empangan Pedu yang mempunyai takungan tinggi (1073 juta m3) melalui Terowong Siong sepanjang 6.8 kilometer untuk takungan dan perlepasan. Air untuk tujuan pengairan ke Kawasan Muda dilepaskan melalui Empangan Pedu dan Ahning.


Pengendalian dan penyenggaraan Empangan Pedu, Muda dan Ahning adalah bawah seliaan Bahagian Pengurusan Empangan dan Sumber Air.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]