Ops bersepadu gempur pusat judi atas talian

in Edisi by


KLANG – Polis dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan melaksanakan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik, air dan menampal notis menurunkan papan iklan tanpa lesen di 40 premis yang dikenal pasti menjalankan kegiatan judi online di kawasan Klang Selatan, semalam.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tindakan ini dilaksanakan mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, iaitu akta 289 pindaan 2001 bagi pemotongan bekalan elektrik dan air.


“Bagi notis menurunkan papan iklan tanpa lesen pula, ia dikeluarkan oleh pihak MPK, pemilik premis diberi tempoh tiga hari bermula dari tempoh notis ditampal hari ini (semalam) bagi menurunkan papan iklan berkenaan.


“Kebanyakan premis berkenaan beroperasi secara berselerak, dan ia banyak bertumpu di kawasan Sentosa, Botanic, Parklands dan lain-lain,” katanya kepada Pemberita ketika hadir menyaksikan kerja-kerja pemotongan bekalan tersebut di sebuah premis judi online di Taman Sentosa, di sini semalam.


Menurutnya, rata-rata premis tersebut ada yang sudah beroperasi pada awal tahun ini dan sebahagiannya baru beberapa bulan lalu.


“Kaedah pelaksanaan yang akan dibuat bersama agensi penguatkuasaan ini adalah mengikut fasa dan kali ini adalah fasa pertama.


“Kita akan laksanakan operasi bersepadu ini sehingga fasa keempat yang dijangka selesai pada minggu hadapan,” katanya.


Pada masa sama, beliau berkata, operasi bersepadu PDRM bersama agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan seperti MPK, Syabas dan TNB ini bertujuan melumpuhkan kegiatan perjudian online di Klang selatan.


Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan yang sama terhadap 140 premis judi online yang beroperasi sebelum ini meskipun sudah menutup operasi kegiatan itu.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]