Politik ‘selak kain’ minda kelas ketiga

in Politik by


SERANGAN peribadi khususnya politik ‘selak kain’ menjadi mainan politik pemikiran kelas ketiga dan suasana  di negara kita masih terperangkap dalam lingkungan sama.


Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau lebih mesra disapa sebagai Chegubard berkata, politik atau kempen harus digunakan sebagai medan mendidik rakyat.


“Politik Malaysia seharusnya bergerak kepada politik tawaran polisi terbaik untuk rakyat bukan hanya berkisar mengenai tokoh atau individu tertentu.


“Namun bagi parti politik atau ahli politik, jalan singkat menyerang atau mematahkan musuh ialah melalui serangan peribadi. Situasi ini sudah tentu tidak membantu menyuburkan demokrasi dan nilai baik yang seharusnya wujud hasil dari pilihan raya umum,” katanya.


Bekas ahli seumur hidup PKR itu menjelaskan bahawa serangan peribadi adalah jalan singkat dan memang ada kesannya.


“Namun dalam dunia hari ini yang mana minda dan pemikiran rakyat telah mula terbuka dan maju, ahli politik atau parti politik kena berhati-hati jika sekadar berbekal isu serangan peribadi atau bermodalkan isu ketokohan sesuatu sosok sahaja mungkin tidak akan membuahkan hasil seperti sebelum ini.


“Sudah mula muncul kelompok pengundi yang bijak dan mencari tawaran polisi terbaik untuk mereka.


“Serangan peribadi ialah jalan singkat ahli politik pemalas. Ia harus ditinggalkan dan selaku ahli politik bertanggungjawab semua seharusnya bersama menggerakkan pengundi atau rakyat ke arah politik nilai dan persaingan tawaran polisi terbaik untuk negara,” tegasnya.


Beliau menasihatkan pengundi agar bijak dan perlu berhenti memberi sokongan atau undi semata-mata kerana sentimen, serangan peribadi atau kekaguman terhadap sosok tertentu saja serta perlu dielak mengundi berdasarkan blok semata.


“Jangan kerana sokong satu parti maka semua calon parti itu wajib diundi. Malaysia di persimpangan penting dalam persaingan global. Malaysia memerlukan sebaris pemimpin politik yang benar-benar berkemampuan,” katanya.


Chegubard mengingatkan bahawa undi seharusnya diberikan berdasarkan rekod kerja mereka selama ini, tawaran polisi terbaik buat pengundi dan pemahaman calon  terhadap isu juga penting.


[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Berkempen jangan terkeluar landasan Islam’


[ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa serangan peribadi boleh ambil tindakan sivil


[ARTIKEL BERKAITAN: Tips kurangkan sabotaj calon


[ARTIKEL BERKAITAN: Pemfitnah boleh dihukum penjara

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]