'Serbuk kopi ubah hidup saya'

in Edisi Terengganu by


PEMUDA peroleh RM500 seminggu jual serbuk ‘minuman orang- orang tua’ diproses sendiri.


Biarpun ada segelintir masyarakat masih beranggapan kopi sebagai minuman orang-orang tua, namun ia tidak pernah membuatkan seorang pemuda berusia 30 tahun merasa malu untuk berniaga serbuk kopi sebagai sumber rezeki.


Mengakui majoriti pembeli terdiri daripada golongan warga emas, Muhd  Faizuha Teraus yang boleh ditemui di Pasar Pagi Kuala Berang (Hari Giliran) pada setiap Rabu dan Sabtu  tetap bersyukur kerana mampu memperoleh hasil jualan mencecah RM500 seminggu.


Berkongsi cerita, peniaga yang berasal daripada  Jerteh, Besut ini berkata serbuk ‘minuman orang-orang tua’ itu telah mengubah kehidupannya sejak dua tahun lalu kerana sebelum ini dia tidak mempunyai pendapatan tetap memandangkan hanya melakukan kerja-kerja kampung untuk mencari rezeki.


“Dua adik-beradik saya iaitu Mohd Fainusi, 32, dan Mohd Fairul, 28, juga turut berniaga serbuk kopi ini tetapi di tempat berbeza kerana kami telah bahagi-bahagikan kawasan. Saya berniaga di Kuala Berang, Rusila serta sekitar Kuala Terengganu tetapi urusan pengambilan bekalan biji kopi biasanya dilakukan bersama.


“Kebiasaannya, kami akan ke Kuala Kangsar, Perak sekurang-kurangnya dua minggu sekali dapatkan 1,000 kilogram (kg) bekalan biji kopi yang telah digoreng. Proses mengisar biji kopi pula saya lakukan di tempat berniaga sebelum dibungkus dan dijual kepada pembeli yang juga pengunjung Hari Giliran di Kuala Berang ini,” katanya.


Dua jenis serbuk kopi dijual


Muhd Faizuha berkata, biji kopi dikisar kepada dua jenis iaitu serbuk kopi kasar dan halus, kerana ada pembeli terutamanya yang agak berusia lebih gemari serbuk kopi kasar.


Dia berkata, harga bagi sekilogram serbuk kopi ialah RM20.


“Bagaimanapun, biasanya dijual sebungkus mengikut berat gram seperti RM5 dan RM10.


“Kebanyakan pembeli adalah warga emas, tetapi ada juga penggemar kopi terdiri daripada orang muda. Hasil jualan serbuk kopi inilah yang menjadi sumber pendapatan utama bagi saya kini, sambutan baik diterima buatkan saya sanggup datang dari Jerteh berniaga di Hari Giliran ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.


Tambah  Muhd Faizuha, di sebalik usahanya mencari rezeki itu ada juga sesekali dia menerima usikan nakal yang mengusiknya orang muda menjual ‘minuman orang tua’ tetapi dia tidak pernah terguris hati sebaliknya menganggap ia sekadar gurauan.


Katanya lagi, kopi sering dikaitkan dengan minuman orang tua berikutan masyarakat Melayu khususnya di kampung-kampung gemarkannya selain sering hidangkan kepada tetamu tetapi sebenarnya ia juga turut dinikmati pelbagai lapisan peringkat umur.


Dalam perkembangan berkaitan juga, Muhd Faizuha iturut menjual serbuk mocha dan cappucino serta biji kopi siap digoreng kerana ada sesetengah pelanggannya lebih suka menghasilkan sendiri serbuk kopi di rumah dengan menumbuk menggunakan lesung batu.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]