Tak ubah seperti budak 10 tahun

in Edisi by


TOK DERPAH – Walaupun usianya sudah menjangkau 23 tahun, namun seorang pemuda di Kampung Tok Derpah, di sini, masih kelihatan seperti kanak-kanak berusia 10 tahun.


Zaitun Abd Rashid, 44, berkata, anaknya, Mohamad Shafiz Jamri, menderita penyakit saraf selepas diserang demam panas ketika berusia lima bulan.


Katanya, tumbesaran anak kedua daripada lapan beradik itu turut terhenti selain tidak mampu berkomunikasi, malah tangan serta kakinya membengkok.


Menurutnya, dia tidak sanggup melihat anaknya itu menderita setiap kali diserang sawan.


“Saya mula risau jika dia sakit teruk, sebab kami tak ada kemudahan nak bawa dia ke hospital.


“Lagipun, dia tak sesuai guna kerusi roda sebab tak boleh tampung badan dan hanya boleh berbaring,” katanya.


Zaitun berkata, berbekalkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, dia berusaha menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan, namun tidak mampu membeli katil khas untuk keselesaan anaknya.


Katanya, hasil upah suami, Jamri Che Omar, 51, yang bekerja kampung digunakan untuk keperluan harian, termasuk empat anak yang masih bersekolah.


“Shafiz tak pernah bercakap apatah lagi mengeluh, dia hanya tersenyum setiap kali memandang wajah saya.


“Dia hanya bergantung pada susu formula dan nestum selain terpaksa pakai lampin pakai buang sepanjang masa,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]