Tindakan diambil jika pemaju langgar syarat EIA

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemaju  tapak pembinaan  berhampiran sekiranya didapati melanggar syarat Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), sehingga menyebabkan banjir kilat di Lebuhraya Persekutuan semalam.


Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hasil  siasatan  awal mendapati sampah dan lumpur di sekitar tapak pembinaan tersebut hanyut terus ke longkang ketika hujan lebat antara pukul 1 tengah hari hingga 4 petang itu.


Beliau berkata ia dipercayai berpunca daripada kegagalan pemaju projek berkenaan menyediakan  kolam takungan dan perangkap sampah, namun siasatan masih dijalankan.


“Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil  tindakan  terhadap  pemaju  pembinaan  sekiranya  projek itu diluluskan selepas Ogos 2015, iaitu ketika syarat EIA baharu dilaksanakan.


Namun, kita tidak boleh mengambil tindakan sekiranya tarikh projek itu sebelum Ogos 2015… perkara itu (tindakan) boleh diambil oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana kelulusan adalah di bawah  DBKL, ” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini


[ARTIKEL BERKAITAN: Pembentung gagal tampung air punca banjir]


Petang semalam, hujan lebat yang melanda sekitar Lembah Klang, mengakibatkan banjir kilat di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Bangsar South, menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk.


Mengulas lanjut, Wan Junaidi  berkata  kapasiti  perparitan  dan  sistem  pembetung  di seluruh Kuala Lumpur masih boleh menampung tahap hujan lebat seperti semalam tanpa berlakunya banjir.


“Data daripada stesen yang memantau di kawasan itu mendapati sungai berhampiran masih  mempunyai  kapasiti tinggi kira-kira 1.5 meter dan mampu menampung (taburan) hujan yang tinggi,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]