Wanita mengandung, bawa anak kecil lakukan ragut

in Edisi Selangor KL by


SEPANG – ‘Wayang’ sekumpulan wanita mengandung selain membawa anak kecil untuk melakukan ragut dan curi barangan kosmetik di sebuah pusat di Putrajaya, akhirnya terbongkar.


Lebih berani lagi, kumpulan terdiri daripada empat wanita ini yang mana dua daripadanya sedang mengandung ini berjaya melakukan lima kes pada 18 Oktober lalu.


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, suspek mensasarkan kanak-kanak yang memakai rantai leher sebelum mengekorinya.


Menurutnya, apabila menyedari ibu kanak-kanak terbabit leka, suspek akan mengambil kesempatan meragut rantai emas kanak-kanak itu.

Pemotong kuku dan gunting yang digunakan suspek untuk meragut rantai emas.


“Suspek dikesan menggunakan pemotong kuku bagi memutuskan rantai leher atau gelang kanak-kanak.


“Ibu mangsa hanya menyedari selepas melihat rantai yang dipakai anak mereka itu tiada sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.


Beliau berkata, bertindak hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya berjaya mengenal pasti suspek terbabit dan berjaya menahan kesemua mereka di tempat letak kenderaan di pusat beli-belah itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.


Katanya, beberapa barang dipercayai hasil ragut dan curi dianggar berjumlah RM6,000 telah dirampas seperti lima utas rantai emas yang telah putus, tiga utas loket emas, gunting kecil, pemotong kuku serta pelbagai barangan kosmetik.


“Tertangkapnya empat wanita berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes di pusat beli-belah berkenaan.


“Kesemua suspek yang dipercayai telah aktif sejak 2010 telah direman bagi membantu siasatan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]