Monthly archive

October 2017 - page 3

Kerana jalin cinta dengan isteri orang

in Edisi Selangor KL by


SEPANG – Seorang pemilik kedai makan dan gunting rambut warga Bangladesh maut ditetak selepas dipercayai menjalin hubungan dengan isteri orang.


Mangsa berusia 26 tahun ditemui mati di kawasan memproses ayam di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, dekat sini, Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, siasatan mendapati mangsa tinggal bersama dengan sepasang suami isteri  warga Indonesia di sebuah rumah yang mempunyai dua bilik tidur dan satu bilik air.


Menurutnya, mangsa dikatakan telah mendiami rumah terbabit sejak tiga hingga empat tahun lalu sejak bekerja sebagai pekerja kontrak di Puchong.


“Mangsa dipercayai menjalin hubungan dengan wanita warga Indonesia terbabit.


“Suspek dalam kes ini disyaki adalah suami kepada wanita terbabit yang dikenali sebagai Johari. Suspek ini bagaimanapun telah menghilangkan diri, namun isterinya telah pulang ke Indonesia pada bulan Ramadan lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, hari ini.


Beliau berkata, siasatan forensik mendapati mangsa disyaki dibunuh ketika sedang tidur berdasarkan kesan darah di atas katil dan bilik mangsa.


Katanya, suspek kemudian terus menghilangkan diri menaiki motosikal jenis Suzuki berwarna merah jambu.


“Polis kini sedang berusaha mengesan Johari bagi membantu siasatan. Mana-mana individu atau mereka yang mengenali dan melihat suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan IPD Sepang Asisten Superintendan Wan Azirul Wan Aziz di talian 017-6556575 atau balai terdekat,” katanya.


Sementara itu, IPD Sepang hari ini mengeluarkan senarai 30 orang dikehendaki termasuk lima wanita bagi membantu menyelesaikan siasatan pelbagai kes jenayah seperti pecah rumah, curi, rusuhan dan samun yang berlaku di daerah ini.


Kesemua suspek yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 51 tahun itu dikehendaki bagi menyelesaikan pelbagai kes tertunggak sejak 2005.


Menurut Abdul Aziz, butiran peribadi termasuk gambar dan maklumat kesalahan mereka akan dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasmi IPD Sepang hari ini untuk memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai kesemua suspek itu.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

Muhammad Ali akan diingati atas visi keusahawanan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim, akan dikenang atas visi keusahawanan dan bimbangannya dalam membangunkan perbadanan itu.


Muhammad Ali, yang meninggal dunia akibat kanser pada usia 70 tahun di KPJ Damansara pada 3.30 petang tadi, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas solat jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, kata anak perempuannya Alia Muhammad Ali kepada media.


Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga anak.


Muhammad Ali berkhidmat dengan perbadanan pelaburan negeri Johor selama 28 tahun sejak Januari 1982 hingga Julai 2010, dan di bawah kepimpinannya, JCorp menjadi antara syarikat terkemuka di Malaysia, dengan kira-kira 280 syarikat di bawah sayapnya.


Melalui kumpulan syarikat itu, JCorp muncul antara peneraju pasaran domestik dalam beberapa perniagaan teras, terutama dalam Perniagaan KULIM, Perniagaan Kesihatan Pakar, dan Perkhidmatan Makanan & Restoran.


Kumpulan ini juga telah menubuhkan bahagian pembangunan hartanah, perindustrian dan tanggungjawab korporat.


Kumpulan ini memiliki kepentingan operasi dan perniagaan bukan sahaja di Malaysia, malah di Singapura, Brunei, Kemboja, Indonesia, Thailand, Bangladesh, dan Australia.


Muhammad Ali juga ialah bekas Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (MICC), Pengerusi Biro Korporat MICC, dan Pengerusi Waqaf An-Nur Corporation Bhd.


Beliau antara lain berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Ekonomi Johor, Bank Negara Malaysia sejak 1971, Ketua Penolong Setiausaha, Pejabat Ketua Menteri Sarawak sejak 1972, Timbalan Pengarah, Unit Perancang, Kerajaan Negeri Sarawak dari 1974 hingga 1977, dan Pengurus Projek, Kulim (Malaysia ) Bhd sejak 1978.


Beliau ialah Pengerusi Majlis Penasihat KFC Holdings Malaysia Bhd sejak 6 Julai 2006 dan Pengerusi Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn. Bhd.


[ARTIKEL BERKAITAN: Tan Sri Muhammad Ali Hashim meninggal dunia]


Mengulas pemergian Muhammad Ali, Pengerusi Kumpulan Ambank, Tan Sri Azman Hashim berkata ia merupakan suatu kerugian kepada masyarakat Melayu dan negara, dan komuniti perniagaan akan merinduinya.


“Beliau banyak menyumbang kepada Johor dan negara. JCorp terlibat dalam pelbagai pelaburan dalam beberapa sektor seperti perkhidmatan perubatan dan perladangan, dan beliau telah banyak menghasilkan pembangunan semasa menjadi CEOnya,” katanya.


Muhammad Ali berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1969, dan menyertai Program Eksekutif Kanan di Stanford University, Amerika Syarikat pada 1985.


Beliau dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang keusahawanan, perniagaan dan pengurusan oleh lapan universiti di Malaysia.


Muhammad Ali menulis tiga buku iaitu ‘Membujur Lalu – Satu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan’ (1995), ‘Bisnes Satu Cabang Jihad – Pembudayaan Bisnes Untuk Survival’ (2003) dan ‘Khalifah Ganti Superman’ (2011).


Atas sumbangannya terhadap perkembangan keusahawanan dan kedudukan ekonomi masyarakat Islam, beliau menerima Anugerah Penghargaan Maal Hijrah oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2007.


Muhammad Ali had written three books, namely “Membujur Lalu – Satu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan” (1995), “Bisnes Satu Cabang Jihad – Pembudayaan Bisnes Untuk Survival” (2003) and “Khalifah Ganti Superman” (2011).


Beliau dipilih sebagai Usahawan Terbaik oleh Rotary Club Johor Bahru pada 1994 dan Pengarah Terbaik 1995 oleh Institut Pengarah Malaysia atas komitmennya terhadap kualiti,  keusahawanan dan profesionalisme. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Lima teras bersihkan Malaysia dari rasuah

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan memperjelaskan lima teras memerangi rasuah di negara ini berdasarkan Bajet Alternatif Malaysia 2018.


Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara perkara tersebut adalah reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), reformasi sumbangan politik, reformasi meningkatkan ketelusan, mengamalkan tender terbuka penggunaan teknologi banteras rasuah, memperkenalkan budaya anti rasuah dalam kalangan masyarakat.


“Menerusi reformasi SPRM kita mahu menjadikan badan berkenaan bebas melaporkan dan bertanggungjawab kepada Parlimen.


“Memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM dalam kes-kes rasuah. Menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegahan Rasuah (SPPPR) untuk membolehkan SPRM membuat pilihan sendiri pegawai-pegawai dalam perkhidmatan SPRM,” katanya.


Beliau berkata, bagi sumbangan politik pula hanya kepada parti-parti dan bukan kepada ahli politik atau individu.


“Setiap penyumbang hanya terhad kepada maksimum RM200,000 setahun sahaja. Selain itu sumbangan politik tidak boleh diberikan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat yang mempunyai kontrak dengan kerajaan persekutuan atau negeri.


“Parti-parti politik akan diberikan peruntukan terus daripada kerajaan (sama seperti di Jerman atau Jepun) untuk membanteras pengaruh keterlaluan,” katanya.


Menurutnya, pihaknya akan meminda akta-akta seperti Akta Perlindungan Saksi 2009, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 demi meningkatkan ketelusan.


“Semua wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan yang berpangkat Jusa C dan ke atas dan pengurusan tertinggi GLC serta ke atas diwajibkan mengisytiharkan harta kepada Parlimen,” katanya.


Mengulas lanjut, Mahathir berkata, pihaknya akan memperluaskan penggunaan sistem e- perolehan dan e-bidaan untuk semua kontrak kerajaan bagi semua kementerian.


“Semua tender terbuka dilakukan secara atas talian dan boleh diakses umum dan mendedahkan keseluruhan Perjanjian Kerjasama Awam Swasta (PPP)


“Proses penganugerahan projek PPP harus mematuhi garis panduan penganugerahan kontrak kerajaan dan bukannya ikut kehendak peribadi menteri. Menteri juga perlu memberi rasional penganugerahan kontrak tersebut,” katanya.


Jelasnya, budaya anti rasuah juga akan diperkenalkan dalam kalangan masyarakat.


“Kita akan mengguna pakai ISO 37001 (Sistem Pengurusan Anti- Rasuah) dalam urus tadbir badan-badan kerajaan. Mengkaji semula struktur ganjaran bagi penjawat untuk membantu menghindari atau mengurangkan kecenderungan terhadap aktiviti rasuah,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Kaji semula mekanisme pemberian pinjaman

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Seorang penyokong kerajaan hari ini meminta kerajaan mengkaji semula mekanisme pemberian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) supaya ia hanya diberikan kepada pemohon yang benar-benar layak mendapatkan pinjaman.


Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata cadangan berkenaan dibuat kerana  terdapat peminjam yang tidak sepatutnya mendapat PTPTN namun menikmati pinjaman itu, sementara mereka yang layak pula terpinggir.


“Contohnya, baru-baru ini tular di media-media sosial bagaimana seorang anak pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan menunjukkan wang PTPTN yang diterimanya. Jika berdasarkan pekerjaan dan perolehan pendapatan ibu bapanya, dia tidak layak mendapat wang tersebut,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.


Justeru, katanya wajar mekanisme pemberian pinjaman dikaji semula termasuk dengan tapisan ketat  oleh panel PTPTN yang bertanggungjawab menilai permohonan dengan teliti dan melakukan sendiri siasatan jika perlu, bagi memastikan pemohon benar-benar berkelayakan.


Ikmal Hisham, yang juga Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd, turut meminta PTPTN mempertimbangkan  untuk menghapuskan caj pentadbiran hutang yang dikenakan kepada peminjam iaitu pada kadar antara satu dan tiga peratus.


Beliau mencadangkan agar caj berkenaan dikecualikan kepada peminjam yang membuat bayaran balik pinjaman secara konsisten, namun dikekalkan kepada peminjam yang ‘degil’.


Dalam pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersetuju melanjutkan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018 dengan 20 peratus diskaun bagi penyelesaian penuh baki hutang. –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

443,883 duduki SPM dari 6 November hingga 4 Disember

in Nasional by


PUTRAJAYA – Sejumlah 443,883 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan berlangsung dari 6 November hingga 4 Disember ini.


Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) berkata sebanyak 3,363 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan seramai 35,341 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.


Daripada 443,883 calon, sebanyak 87 peratus adalah calon dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM (1.9 peratus), calon sekolah menengah agama negeri (1.9 peratus), calon sekolah menengah agama rakyat (0.4 peratus), calon sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM (3.4 peratus) dan calon persendirian (5.4 peratus).


“Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon untuk merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan tersebut berlangsung,


Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my,”katanya.


Kementerian itu berkata calon juga diingatkan untuk membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar. –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

PRU14: MCA sedia tebus kegagalan dua PRU

in Politik by


KUALA LUMPUR – MCA bersedia untuk menebus kegagalan yang dialami parti itu dalam dua pilihan raya umum sebelum ini, kata presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.


Beliau berkata parti itu telah melalui transformasi dan kini bersedia untuk menghadapi PRU14.


“Kami telah mengalami dua kegagalan (pada 2008 dan 2013), dan saya yakin kali ini kami bersedia untuk mengatasinya. Ini amat penting bagi kami,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat parti itu di sini, hari ini.


Dalam pilihan raya umum 2008, MCA hanya berjaya mengekalkan 15 kerusi parlimen daripada 40 kerusi yang ditandingi, dan kalah semua kerusi parlimen di Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan.


Pada pilihan raya umum 2013 pula, parti itu hanya memperoleh tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi dewan undangan negeri, yang disifatkan sebagai kegagalan terbesar MCA.


MCA akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-64 pada Sabtu dan Ahad ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan AGM berkenaan.


Antara topik yang akan dibincangkan dalam perhimpunan agung itu adalah jentera pilihan raya parti, sumbangan MCA kepada rakyat dan sebagainya.


Dalam perkembangan lain, Tiong Lai berkata, MCA menyambut baik bajet yang dibentangkan perdana menteri pada Jumaat lepas.


“Kami percaya bajet itu akan terus merancakkan ekonomi negara, memperkasa Perusahan Kecil dan Sederhana serta mempertingkatkan sektor digital selain logistik,” kata Tiong Lai, yang juga Menteri Pengangkutan. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Robot pertama dianugerahkan warganegara

in Global by


RIYADH – ARAB SAUDI. Sebuah robot menjadi robot pertama dalam sejarah dunia apabila diberikan kewarganegaraan oleh Arab Saudi.


Robot tersebut, Sophia direka oleh syarikat dari Hong Kong, Hanson Robotics pada 2015.


Sophia membuat kemunculan sulungnya pada acara Future Investment Initiative (FII) pada Rabu minggu lepas.


Dalam acara tersebut, Sophia ditemuramah di atas pentas oleh kolumnis dari New York Times, Andrew Ross Sorkin.


“Saya berbangga menjadi robot pertama di dunia yang dianugerahkan kewarganegaraan,” kata Sophia.


Ketika ditanya sama ada Sophia sedar ianya adalah robot atau tidak, Sophia membalasnya dengan satu soalan.


“Biar saya tanya balik, macam mana anda tahu anda ialah manusia?” kata Sophia.


Sophia mengatakan ia mahu ‘bekerjasama bersama manusia untuk memahami manusia dan membina kepercayaan dengan manusia’.


Walaupun anugerah yang diberikan kepada Sophia dianggap bersejarah, berita mengenainya dijadikan bahan lawak di laman sosial.


“Sophia, sekarang awak jadi warganegara Arab Saudi bermakna awak tak boleh berjalan di tempat awam tanpa memakai tudung,” kata @moonshiner99 di Twitter.


Selain itu, fakta mengenai wanita di Arab Saudi yang tidak diberikan hak sama rata juga dikaitkan dengan Sophia.


“Sophia, robot pertama yang diberikan kewarganegaraan di Arab Saudi mempunyai lebih banyak hak dari seorang wanita (di Arab Saudi),” kata @EApples7.


 


 


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Minta lori Coca-cola dilarang masuk Liverpool

in Global by


LIVERPOOL – BRITAIN. Seorang pemimpin parti politik menggesa supaya lori Coca-cola dilarang memasuki Liverpool sempena hari Krismas.


Menurut laporan BBC, Richard Kemp dari parti Liberal Demokrat menulis surat kepada pengurus-pengurus dari Liverpool One untuk sokongan.


Liverpool One merupakan kawasan membeli-belah dan Coca-cola Britain menjadikan ia sebagai salah satu lokasi jelajahnya sempena Krismas.


Richard membuat saranan tersebut selepas laporan kadar obesiti di Liverpool yang membimbangkan didedahkan.


Dipetik laporan Liverpool Echo, Richard mendakwa lori Coca-cola ‘mempromosikan produk yang tidak menyihatkan’.


“Acara (jelajah Coca-cola) telah berlaku sejak lima tahun lepas dan tidak direka untuk Krismas tetapi (direka) untuk meningkatkan pengambilan produk yang langsung tidak menyihatkan,” tulis Richard dalam suratnya.


Sementara itu, jurucakap Coca-cola mengatakan pihaknya mendapat respons positif dari penduduk di Liverpool berkenaan jelajah terakhirnya.


“Orang ramai boleh melihat lori Coca-cola dari jarak dekat, ambil gambar kenangan dan menikmati Coca-cola Classic atau produk tanpa gula kami, Diet Coke atau Coca-Cola Zero Sugar,” kata jurucakap tersebut.

 


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Pasangan Song-Song kini suami isteri

in Hiburan by
Song Joong-ki dan pasangannya, Song Hye-kyo melangsungkan perkahwinan mereka petang tadi.

Pasangan Song-Song kini suami isteri


SELEBRITI terkenal Song Joong-ki dan pasangannya, Song Hye-kyo melangsungkan perkahwinan mereka petang tadi di Shilla Hotel lapor Koreaboo.


Majlis tersebut diadakan secara tertutup dan dihadiri keluarga dan rakan terapat kedua-dua selebriti tersebut tanpa kehadiran wartawan.


Antara yang hadir adalah Lee Kwang-soo, Yoo Jae-suk, Kim Jong-kook, Park Hyung-sik,Cha Tae-hyun,Haha, So Ji-sub, Kim Ji-won, Zhang Zi Yi, Park Bo-young, D.O dari kumpulan EXO, dan ramai lagi selebriti popular Korea Selatan.


Kedua-dua mempelai kelihatan sama cantik sama padan dan kegembiraan terukir di wajah mereka saat diumumkan sebagai suami isteri.


Selain itu, perkahwinan pasangan yang digelar ‘song-song couple’ ini turut trending di serata dunia di laman Twitter iaitu #SongSongCouple Wedding di mana para peminat luar negara mengucapkan tahniah kepada mereka.


Terdahulu, pasangan ini mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan akan melangsungkan perkahwinan.


Kedua-dua mereka bertemu semasa membintangi drama popular, Descendants of the Sun tahun lalu.                  


 




 


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

Chelsea harus realistik kejar City

in Sukan by


ANTONIO Conte nyata masih berpuas hati dan gembira dengan prestasi Chelsea ketika ini.


Ketika ditanya mengenai peluang The Blues untuk mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City, Conte berkata, Chelsea harus lebih bersikap realistik dalam usaha mengejar City.


Menurutnya, pada ketika ini, pasukan harus berusaha dalam perlawanan akan datang.


“Kami berada di tangga keempat dengan 19 mata, manakala kami di kedudukan pertama dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Kami juga layak ke peringkat seterusnya Carabao Cup yang mana tahun lalu kami tersingkir di pusingan kedua.


“Saya gembira dengan pasukan kami sekarang,” katanya.


Tambahnya, apa yang kami harus lakukan adalah terus bersaing hingga ke akhir untuk merebut kejuaraan.


Setelah 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris, Chelsea kini menduduki tangga keempat dalam usahanya mempertahankan gelaran juara.


Gol pertama Eden Hazard di liga musim ini membuat Chelsea menundukkan Bournemouth 1-0.


Dengan 19 mata, Chelsea kini berada di bawah Tottenham Hotspur (20 mata), Manchester United (23 mata), dan dengan 28 poin sebagai satu-satunya pasukan yang masih belum tewas.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA