200 ejen judi ekor ditangkap

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Seramai 200 individu yang terbabit dalam penjualan judi ekor haram di sekitar negeri ini, sudah ditahan polis sejak tiga bulan lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusof berkata, kesemua yang terlibat akan didakwa dalam masa terdekat ini.


Beliau berkata, daripada jumlah tangkapan tersebut, pihaknya merampas beberapa peralatan termasuk wang tunai dengan nilai RM28,400.


Jika dulu, katanya, hanya 30 kes serbuan sahaja dilakukan pihaknya dalam sebulan, tetapi kini naik enam kali ganda sehingga mencapai 196 kes dalam tempoh sama.


“Aktiviti penguatkuasaan kini kerap dijalankan di seluruh negeri bagi memastikan Negeri Sembilan bebas daripada sebarang aktiviti perjudian.


“Jika sebelum ini kita memberi tumpuan kepada judi siber tetapi kali ini kita memberi fokus kepada judi haram yang mana mereka ini  lari daripada membayar cukai, terutama judi ekor,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini semalam.


Nor Azman berkata, aktiviti perjudian secara haram itu dijalankan dengan pelbagai cara, termasuk jualan melalui telefon atau secara bertulis yang dibeli daripada pengusaha judi ekor haram yang boleh dijumpai di sekitar kaki lima dan kedai-kedai kopi.


“Jun dan Julai lalu, seramai 63 pengusaha judi haram telah dituduh di mahkamah yang membawa kepada hukuman denda sehingga RM200,00,” katanya.


Bagaimanapun, Nor Azman berkata, sebanyak 135 premis hiburan dan keluarga di negeri ini sudah bebas daripada aktiviti judi siber.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]