Ahli Geng Paikar tumpas

in Edisi Utara by


KEPALA BATAS – Kelicikan tiga lelaki dikenali Geng Paikar yang memecah masuk kedai tumpas apabila diberkas dalam Op Cantas pada 29 dan 31 Oktober lalu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, geng berkenaan memutuskan bekalan elektrik dan mematikan penggera keselamatan sebelum melakukan aktiviti memecahkan dua kedai di Pusat Perniagaan Raja Uda di sini.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis menjalankan Op Cantas di sekitar kawasan Mak Mandin dan Butterworth pada 29 Oktober.


Menurutnya, dua lelaki warga tempatan ditahan dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.


“Berikutan daripada tangkapan itu, kira-kira jam 12.20 tengah malam pada 31 Oktober lalu, polis kemudiannya menyerbu kawasan parkir sebuah apartmen di Taman Lintang Ayer Itam.


“Dalam serbuan ini, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki berkait dengan dua kes pecah kedai ini,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara semalam.


Dalam operasi ini, polis berjaya merampas pelbagai barang yang dicuri dari dua kedai tersebut.


“Kesemua suspek yang ditahan berusia 34, 37 dan 43 tahun. Hasil semakan rekod terdahulu mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau.


“Malah mereka mengaku terlibat dalam dua kes pecah kedai di kawasan Butterworth itu,” katanya.


Dalam pada itu, Noorzainy berkata, ketiga-tiga suspek turut mengaku bergiat aktif dalam kes pecah rumah, pecah kedai dan mencuri minuman keras di sebuah pasar raya.


“Malah mereka turut jalankan aktiviti pecah kedai di kawasan Seberang Perai Utara dan Kuala Muda,” katanya.


Kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]