Ahli perniagaan dipenjara dua hari

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun dihukum penjara dua hari dan denda RM100,000 selepas mengaku salah atas dua pertuduhan menipu seorang kontraktor untuk mendapatkan projek berkaitan pembangunan KLIA2, kira-kira enam tahun lalu.


Tertuduh, Ahmad Omar Noordin, 53, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini, selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan semula ke atasnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim G.Ramesh, semalam.


Mengikut kertas pertuduhan pertama, Ahmad Omar didakwa memperdaya Ng Suat Leh, 66, yang dia akan mendapatkan projek berkaitan pembangunan KLIA2 sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM200,000 melalui pesanan juruwang atas nama isterinya pada 18 Ogos 2010.


Mengikut kertas pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya Suat Leh bahawa dia akan mendapatkan projek yang sama sehingga mendorong mangsa mendepositkan wang RM5,000 ke dalam akaun bank milik isterinya pada 3 September 2010.


Berdasarkan fakta kes, projek berkaitan pembangunan KLIA2 yang dimaksudkan dalam kes tersebut adalah pembinaan fasiliti landasan dan pagar bagi kegunaan KLIA2 di bawah kendalian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Terdahulu, peguam bela tertuduh, Rajindar Singh merayu kepada mahkamah mengenakan hukuman minimum ke atas Ahmad Omar memandangkan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh dan tindakan tertuduh mengaku salah menunjukkan dia telah insaf.


Kata Rajindar, tertuduh mengalami penyakit kronik termasuk berkaitan jantung dan kencing manis, manakala isterinya perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu serta perlu menjaga kebajikan sembilan anaknya berusia antara dua hingga 27 tahun termasuk anak sulung yang sedang belajar di luar negara.


Timbalan Pendakwa Raya Nurdiyanah Mohd. Nawawi bagaimanapun membantah rayuan tersebut dengan meminta hukuman setimpal dikenakan, sebagai pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat serta membangkitkan tentang tertuduh tidak mengaku salah sebelum perbicaraan kes itu bermula.


Ramesh menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM50,000 keatas tertuduh, bagi kesalahan pertama dan mengenakan hukuman serupa bagi pertuduhan kedua, dan jika gagal membayar denda tersebut boleh dihukum penjara 12 bulan bagi setiap kesalahan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]