Anugerah Zamry: Amanah serah SPRM bukti

in Semasa by


IPOH – “Saya dah serahkan segala dokumen berkaitan, terpulang kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk jalankan siasatan,” kata Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.


Laporan kepada SPRM dibuat, hari ini susulan pendedahan penganugerahan Kepimpinan Ikon Jenama Pembangunan Negara BrandLaureate yang diterima Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ogos lalu didakwa sebagai satu pengiktirafan berbayar.


Asmuni berkata, sebelum ini, pihaknya telah memberi tempoh kepada Adun Pangkor itu untuk memberikan penjelasan lanjut berhubung isu terbabit, namun maklum balas diterima tidak meyakinkan.


“Kita sudahpun jalankan tanggungjawab sebagai rakyat dan sebuah parti yang sah menolak sebarang unsur salah guna kuasa di negeri ini, tanggungjawab beliau (Zambry) pula untuk berikan penjelasan,” katanya kepada media.


Terdahulu, Asmuni mendedahkan, pihaknya memperoleh maklumat pengiktirafan itu dibayar menggunakan dana awam yang dilakukan sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan dengan kos lebih RM380,000.


The Brandlaureate tampil membuat kenyataan bahawa anugerah yang diberikan itu bukan sesuatu yang boleh dibeli, malah penerima dipilih berdasarkan merit dan pencapaian sebagai pemimpin di peringkat negeri dan sumbangannya terhadap pembangunan Perak serta Malaysia.


Mengulas lanjut, Asmuni berkata, dalam pertemuan selama satu jam 30 minit dengan SPRM itu, Amanah mengemukakan dua perkara untuk disiasat iaitu sama ada terdapat unsur penyalahgunaan kuasa melibatkan individu dan kedua, penyalahgunaan kuasa oleh syarikat yang membuat bayaran terbabit.


Menurutnya, pendedahan dibuat, tidak bermaksud untuk membunuh karakter mana-mana pemimpin, tetapi sebagai pengajaran agar tidak sewenangnya menyalahguna kedudukan sedia ada terutama pada saat rakyat tertekan dengan kenaikan kos sara hidup tinggi.


“Kita ada bukti daripada baucar bayaran yang diterima kerana itu Amanah mengambil tindakan serius akan hal ini. Kita mengharapkan siasatan dijalankan secara telus,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]