ATM sedia hospital medan di kem pelarian

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyediakan hospital medan yang dilengkapi peralatan perubatan bagi Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya di Chittagong, Bangladesh pada bulan ini.


Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor berkata, hospital medan itu merupakan yang paling canggih dan lengkap apabila diaturgerakkan ke negara berkenaan nanti.


“Di sana terdapat dua hospital medan yang telah sedia ada kelolaan Norwegian Red Cross dan Bangladesh Red Crescent,  namun, ia tidak  mempunyai kebolehan dan peralatan yang selengkap hospital medan Malaysia ini.


“Hospital medan ini  boleh menempatkan sehingga 150 pesakit pada satu masa selain dilengkapi bilik pembedahan, x-ray serta bilik khas bagi kemudahan ibu dan anak,” katanya selepas meninjau persiapan akhir hospital medan itu di Hospital Tentera Tuanku Mizan di sini, hari ini.


Raja Mohamed Affandi berkata kesemua kelengkapan terbabit adalah untuk kegunaan 140 petugas  Tim Perubatan Malaysia yang akan diketuai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.


“Jumlah itu termasuk doktor pakar, pegawai perubatan serta staf sokongan KKM dan pertubuhan bukan kerajaan.


“Ini merupakan kerjasama terbesar antara ATM dan KKM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) selaras dengan saranan kerajaan agar semua pihak berganding bahu membantu  pelarian  Rohingya ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Tim Perubatan Malaysia, Dr Rizal Amrin Alwi berkata  seramai enam doktor pakar merangkumi pakar bedah umum dan trauma, pakar obstetrik dan ginekologi serta pakar bius akan turut serta dalam misi tersebut.


Krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine, Myanmar semakin memuncak sejak Ogos lepas dengan semakin ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh setiap hari, menyebabkan semakin banyak kem pelarian diwujudkan.


Sehingga kini angka sebenar pelarian Rohingya itu tidak dapat disahkan namun banyak pihak mendakwa ia telah melebihi sejuta orang. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]