Azroy fokus menang di Batu Kawan

in Sukan by


AZROY Hakeem Anuar hanya fokus untuk mencari kemenangan ketiga peribadi musim ini setelah menyedari peluang merebut takhta kejuaraan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 sudah tertutup pada perlumbaan pusingan kesembilan di Batu kawan, Pulau Pinang, 4 dan 5 November ini.


Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu muncul satu-satunya pelumba yang berjaya memenangi perlumbaan CP115 setelah muncul juara pada pusingan kelima di Selangor dan pusingan keenam di Melaka manakala baki perlumbaan yang lain semua menjadi milik pendahulu yang juga juara bertahan, Mohd Akid Aziz.


Pelumba itu bagaimanapun kehilangan banyak mata kerana tidak dapat menyertai tiga perlumbaan musim ini akibat bertembung dengan jadual perlumbaan Asia Talent Cup (Pusingan 1- Pahang, Pusingan 2 – Johor, Pusingan 8 – Negeri Sembilan) selain gagal mengutip sebarang mata akibat kemalangan dan gagal menamatkan perlumbaan dalam baki dua pusingan lain.


Selepas lapan pusingan, Azroy kini mengumpul 50 mata untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan manakala Akid selesa di tangga teratas dengan 155 mata.


“Walaupun kecewa kerana gagal untuk bersaing merebut gelaran keseluruhan, namun saya tetap akan memberikan yang terbaik pada baki dua pusingan terakhir musim ini.


“Lagipun jadual perlumbaan saya ditentukan oleh Boon Siew Honda dan Yuzy Racing, jadi saya hanya mengikut sahaja perancangan mereka,” jelas Azroy.


Tambahnya, “Peluang untuk berada dalam kelompok lima pelumba terbaik musim ini masih terbuka luas, jadi saya perlu memastikan penamat di atas podium minggu ini.”

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]