Barang tiruan RM96,720 dirampas

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pelbagai jam dan kasut berjenama tiruan bernilai RM96,720 dirampas dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor di Pasar Borong Pandan, di sini, malam kelmarin.


Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan pemantauan manakala operasi disertai sepasukan 70 anggota penguatkuasa KPDNKK diketuai Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri, Aris Mamat, pada jam 8 malam.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mereka turut menemui sebuah premis dijadikan stor bagi membekalkan kasut berjenama tiruan yang pernah diambil tindakan tahun lalu.


“Pemeriksaan besar-besaran ini diadakan di kawasan perniagaan Pasar Borong Pandan bagi membanteras penjualan barang tiruan seperti kasut, jam tangan serta VCD di dalam pasar raya itu.


“Kita juga dapati 10 daripada 154 premis yang diperiksa menjual barangan disyaki tiruan manakala 57 yang lain membabitkan penandaan harga dan notis jualan murah,” katanya.


Khairul Anwar berkata, terdapat premis yang melakukan kesalahan berulang dan tidak serik walaupun sebelum ini sudah dikenakan tindakan.


“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan barangan ini, namun barangan berkenaan untuk pasaran sekitar negeri ini.


“Kami percaya ia dipasarkan di sekitar pasar borong dan kedai kecil yang menjual barangan tiruan dengan harga serendah RM50 sepasang bergantung kepada jenis dan kualiti barangan itu,” katanya.


Katanya, kesemua barangan disita mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]