Belum pasti bersama Liu Ying

in Sukan by


TERPULANG kepada keputusan jurulatih,” itu komen ringkas Chan Peng Soon ketika ditanya masa depannya bersama Goh Liu Ying.


Katanya, buat masa ini belum ada sebarang kata putus mengenai gandingan semula bersama Liu Ying yang sudah pulih daripada kecederaan bahu.


“Buat masa ini, saya akan kekal bersama Cheah Yee See sehingga penghujung tahun ini.


“Untuk tahun depan, saya belum dapat kepastian adakah saya akan digandingkan kembali bersama Liu Ying kerana semuanya masih dalam perbincangan.


“Apa pun, kita perlu tunggu dan lihat kerana semua keputusan terletak di tangan jurulatih (Pang Cheh Chang) untuk membuat penyusunan,” katanya.


Liu Ying sebelum ini terpaksa diketepikan daripada bergandingan dengan Peng Soon ekoran kecederaan bahu dan terpaksa jalani pembedahan, Mei lalu.


Gandingan Peng Soon dan Liu Ying merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016, selain melangkah ke pusingan akhir All England awal tahun ini.


Mengulas lanjut gandingannya bersama Yee See, Peng Soon akui perlu sedikit masa untuk serasi.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]