Berlakon pengsan elak daripada diperiksa

in Edisi Utara by


BUKIT MERTAJAM – Seorang wanita warga Indonesia pura-pura pengsan apabila menyedari kehadiran sepasukan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang yang melakukan pemeriksaan di rumahnya di Taman Perwira Indah di sini malam semalam.


Bagaimanapun lakonan wanita itu tidak berjaya meraih simpati anggota penguatkuasa berkenaan apabila dia tetap diarahkan untuk menyerahkan dokumen pengenalan dirinya serta permit kerja untuk diperiksa dalam Ops Ikrar yang dilakukan pada jam 10 malam itu.


Dalam pemeriksaan yang dibuat mendapati, wanita terbabit didapati tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan dan menumpang asrama yang dihuni enam orang rakannya.


Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang, Mohd Nasir Ahmad berkata, terdahulu anggotanya terpaksa menunggu hampir 15 minit sebelum wanita terbabit bersama lagi enam lagi rakannya membuka pintu asrama berkenaan bagi membolehkan pemeriksaan dibuat.


Menurutnya, ketika anggota meminta kesemua mereka menyerahkan dokumen pengenalan diri masing-masing, wanita berusia 20-an itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.


“Selepas ditenangkan oleh rakan-rakannya, wanita terbabit akhirnya bangun dan mengakui permitnya telah tamat tempoh,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Mohd Nasir berkata, wanita terbabit antara 19 lelaki dan empat wanita warga asing yang ditahan dalam operasi yang dilakukan di dua lokasi termasuk di Taman Pelangi, Juru di sini.


Katanya, antara yang ditahan warganegara Indonesia, Nepal dan Myanmar berusia di antara 20 hingga 40 tahun.


Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen di Juru.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]