'Berpura-pura bukan pekerja'

in Semasa by


KLANG – Hanya mampu terkedu dan berpura-pura mendakwa bukan pekerja, itu yang berlaku dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor di tiga buah premis menjual pakaian sukan berjenama di Klang, semalam.


Pegawai Penguatkuasa Kanan KPDNKK Selangor, Azizul Rahman Sapahin berkata, operasi kira-kira jam 2 petang dan diketuai pegawainya Ariffin Awang dijalankan hasil maklumat dan risikan.


Menurutnya, tindakan tiga premis menjual pakaian sukan itu membawa padah selepas pihaknya merampas sebanyak 853 pasang kasut serta selipar berjenama tiruan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM39,512.


“Serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai kegiatan penjualan barangan tiruan di premis terbabit.


“Kita percaya semua barangan ini dibawa dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan semua barangan ini dijual pada harga antara RM20 hingga RM50 sepasang berbanding barangan asli yang mencecah ratusan ringgit,” katanya.


Beliau berkata, ketika serbuan tiga pekerja dapati berpura-pura bukan pekerja premis terbabit bagi mengelak tindakan diambil.


Katanya, bagaimanapun, tindakan pekerja warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu dikesan dan pihaknya telah merekodkan keterangan bagi membantu siasatan.


“Kesemua barangan yang dirampas itu kemudiannya dibawa ke stor KPDNKK Selangor di Shah Alam untuk tindakan lanjut.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]