Bersatu Johor minta ROS siasat kecelaruan dalam parti

in Nasional by


PUTRAJAYA – Pimpinan dan ahli Bersatu dari lapan bahagian di Johor menghantar aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya satu siasatan terperinci dijalankan terhadap parti berkenaan.


Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Kluang, Arjuna Putra Ali berkata, ini kerana terdapat banyak kecelaruan dan kepincangan dalam parti yang dibiarkan oleh pimpinan tertinggi.


“Kami kemukakan 385 aduan rasmi dari 26 bahagian kepada ROS dan antara aduan tersebut adalah Bersatu tidak mengadakan mesyuarat agung peringkat cawangan dan bahagian selepas setahun didaftarkan.


“Mengikut Perlembagaan Akta Pertubuhan 1967 dan Peraturan-Peraturan 1984, satu Mesyuarat Agung Cawangan dan Bahagian Bersatu wajib dilaksanakan selepas setahun ditubuhkan tetapi sehingga hari ini pihak kami tidak menerima sebarang notis bertulis mengenai perkara tersebut,” katanya kepada media selepas mengemukakan aduan kepada ROS, hari ini.


Katanya, kesan daripada perkara tersebut, pihaknya tidak mengetahui status dan kedudukan dari sudut perancangan, gerak kerja, keahlian serta kesahihan penjawat jawatan dalam parti.


“Malah semakan kami di ROS mendapati parti ini tidak mempunyai ahli dan bagaimana pula kami yang menjawat jawatan. Ini adalah penipuan besar. Adakah jawatan kami ini sah dari sudut peraturan ROS?” Soalnya.


Menurutnya, jawatankuasa pimpinan dan akar umbi Bersatu Johor juga ingin mengetahui kedudukan sebenar parti tersebut.


“Sehingga ke tarikh akhir tempoh 12 bulan selepas penubuhan, Bersatu tidak mewartakan penyata kewangan yang disahkan, rekod pihak pemberi dana dan berapa jumlah sumbangan yang diterima daripada parti komponen khususnya DAP.


“Berdasarkan aduan rasmi ini berkemungkinan jumlah yang besar telah ditaja DAP bagi melaksanakan pelbagai program Bersatu sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat,” katanya.


Beliau turut mengingatkan pemimpin Bersatu bahawa setiap permohonan menjadi ahli perlu disertakan yuran pendaftaran.


“Sehingga hari ini, kami tidak mengetahui jumlah ahli dan wang terkumpul. Malah kami tidak mengetahui berapa jumlah yang diterima dan telah dibelanjakan.


“Ini berdasarkan rekod ratusan aduan ahli yang masih belum mendapat pengesahan keahlian sedangkan pembayaran telah dibuat secara tunai dan atas talian. Mengapa perkara ini perlu dirahsiakan?” soalnya.


Jelasnya, pihaknya dari Gerakan Pimpinan dan Akar Umbi (Gempa) telah menerima aduan dan bantahan daripada bahagian-bahagian terlibat termasuklah mendaftarkan ahli tanpa persetujuan penama.


“Ini adalah satu jenayah berat dan serius. Ia boleh disabitkan di bawah Akta 471 Kanun Keseksaan dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang membawa hukuman penjara selama tiga tahun serta denda maksimum RM500,000,” katanya.


Tambahnya, isu Ketua Penaja atau Ketua Bahagian Bersatu yang sering bertukar dan tiada kredibiliti adalah permasalahan sejak awal penubuhan parti.


“Ditambah dengan modus operandi meletakkan ketua-ketua bahagian proksi yang membawa kepada isu nepotisme dan kronisme.


“Akhirnya masalah dalaman seperti tiada kesepakatan dan soal kebajikan ahli terus menular hampir ke seluruh peringkat bahagian seterusnya menjadi nanah lalu membusuk ke peringkat akar umbi,” katanya.


Justeru, beliau menggesa kepimpinan Bersatu segera mengadakan mesyuarat agung bagi menyelesaikan masalah berbangkit.


“Ia akan menjadi platform kepada akar umbi bagi melontarkan pandangan dan idea bagi memulihkan kembali imej parti,” katanya.


 


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]