Doktor ditemui maut dalam bilik tidur

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kegelisahan seorang wanita apabila gagal menghubungi tunangnya beberapa hari lalu terjawab selepas menemui mayat lelaki itu di dalam bilik sewanya di Kampung Nyior Sepohon, Jalan Sultan Mahmod, di sini, malam semalam.


Mayat Mohd Muaz Mohd Sabri, seorang doktor yang bertugas di Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ) di sini, ditemui kira-kira jam 10.40 malam selepas pintu biliknya yang berkunci berjaya dibuka oleh anak pemilik bilik sewa terbabit, Hakim Mat Lazim, 32.


Menurut Hakim, sebelum itu, dia yang sedang minum di kedai makan berhampiran rumah dihubungi bapa menyuruh pulang dengan segera untuk membantunya membuka pintu bilik sewa arwah kerana bimbang sesuatu tidak diingini berlaku selepas tidak menyahut panggilan mereka.


“Saya mencungkil pintu bilik beberapa kali sehingga berjaya dibuka sebelum terhidu bau yang agak busuk dan yakin sesuatu yang buruk berlaku terhadap arwah, saya terus menghubungi polis untuk bantuan.


“Dalam masa sama, saya tidak mengizinkan sesiapa pun masuk ke dalam bilik itu termasuk tunangnya sehingga pihak polis tiba,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Hakim berkata, dia dimaklumkan pasangan itu sebelum ini terkena keracunan makanan selepas makan makanan yang dibeli di sebuah pasar malam berhampiran sehingga menyebabkan wanita itu terpaksa ditahan di wad beberapa hari untuk rawatan.


“Bagaimanapun, arwah yang enggan ke hospital bagi mendapatkan rawatan mengambil keputusan untuk berehat sahaja di bilik sewanya dan sememangnya dua tiga hari sebelum ini, arwah tidak keluar dari bilik,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan berhubung penemuan mayat arwah.


Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat dan sehingga kini pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]