Dua lelaki Thailand ditahan miliki pistol, peluru hidup

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Dua lelaki warga Thailand ditahan bersama sepucuk pistol dan lima butir peluru hidup di hadapan bangunan One Stop, Pulau Tikus di sini pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu,kedua-dua lelaki berkenaan yang menaiki motosikal jenis Honda Ex-5 ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua lelaki yang berusia lewat 20-an itu menemui sepucuk pistol jenis Revolver Smith And Wessom P38 yang diselitkan di bahagian pinggang.


“Setakat ini kita masih lagi menyiasat apakah motif kedua-dua lelaki terbabit menyimpan senjata api berkenaan bersama lima butir peluru hidup.


“Semakan juga akan dilakukan sama ada mereka sebelum ini pernah terlibat dengan kegiatan jenayah di negeri ini,”katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Anuar berkata, kedua-dua lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut dan akan ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman.


Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 kerana memiliki senjata api dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru hidup.


Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun dan sebat.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]