Dua tekong, tiga awak-awak berputih mata

in Edisi by


KUALA KURAU – Dua tekong bersama tiga awak-awak terpaksa berputih mata apabila  165 kilogram hasil tangkapan dilelong setelah dikesan melanggar syarat lesen dalam satu operasi dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), di sini hari ini.


Lelongan 150 kilogram ikan baja dan ikan campur-campur 15 kilogram berjumlah keseluruhan RM105 itu habis hanya dalam tempoh kurang 30 minit.


Pengarah Maritim Kuala Kurau, Leftenan Komander Mohamad Zainal berkata, ketika rondaan Op Satria Utara dijalankan sekitar jam 9.25 pagi, dua bot nelayan tempatan kelas B itu dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat kenka di perairan pantai Sungai Burung.


Menurutnya, sebaik dihampiri, terdapat dua tekong dan tiga awak-awak kesemuanya penduduk tempatan berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun berada dalam bot terbabit.


“Bot terbabit dikesan menyalahi kesalahan dibawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen.


“Semua yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis, sementara kesemua hasil tangkapan telah dilelong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Beliau mengalu-alukan orang ramai memberi maklumat berkaitan aktiviti diperairan yang menyalahi undang-undang.


“Kita akan pertingkatkan lagi pemantauan dan rondaan bagi membanteras sepenuhnya aktiviti seumpama ini,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]