Gaji minimum berbeza hanya mengikut kawasan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk menetapkan kadar gaji minimum berbeza di kawasan bandar dan luar bandar kerana dibimbangi akan menyebabkan perpindahan pekerja yang tidak terkawal.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, pada masa sekarang kerajaan hanya menetapkan gaji minimum yang disyorkan adalah mengikut sektor, jenis pekerjaan dan kawasan wilayah sahaja.


“Jika kadar gaji minimum berbeza ditetapkan bagi kawasan bandar dan luar bandar, kita bimbang penguatkuasaan akan datang menjadi lebih sukar.


“Ia juga boleh menyebabkan perpindahan pekerja dari luar bandar ke bandar kerana gaji minimum yang diberikan bandar lebih tinggi,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Hasbullah Osman (Gerik-BN), di Dewan Rakyat, hari ini.


Pada masa sama, beliau berkata kerajaan hanya akan mengkaji semula Perintah Gaji Minimum sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun selaras dengan peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang mana ia dilaksanakan oleh Majlis Perundangan Gaji Negara (MPGN).


“Kerajaan baharu sahaja selesai membuat kajian semula Perintah Gaji Minimum 2012 dan setelah pertimbangan yang teliti oleh MPGN, kadar gaji minimum daripada RM900 dinaikkan kepada RM1000 (semenanjung) dan daripada RM800 kepada RM920 ( Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) mulai 1 Julai 2016.


“Kajian semula terhadap perintah gaji minimum pada masa akan datang adalah pada 2018,” katanya.


Menurutnya, pelbagai faktor diambil kira dalam membuat penetapan gaji Perintah Gaji Minimum termasuklah indikator sosioekonomi seperti perubahan indeks harga pengguna dan kadar pertumbuhan produktiviti.


“Kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak melalui pendekatan mengimbangi kepentingan majikan, pekerja dan kerajaan agar sebarang keputusan dibuat berhubung kenaikan kadar gaji minimum tidak membebankan majikan sekali gus membawa mudarat kepada pekerja sendiri.


“Selepas meneliti indikator yang telah digariskan, barulah Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara (JTPGN) akan membuat syor yang sewajarnya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]