IJN, Selgate jalin MoU strategik

in Edisi by


SHAH ALAM – IJN Holdings Sdn Bhd memeterai kerjasama strategik bersama Selgate Corporation Sdn Bhd bagi melebarkan kepakaran dalam bidang perawatan jantung dan penjagaan kesihatan menerusi pembangunan Hospital Pakar IJN Selgate.


Kerjasama ini merupakan tanda aras penting bagi IJN Holdings dan mercu tanda utama bagi Selgate yang merupakan anak syarikat milikan penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam usaha untuk menawarkan rawatan penjagaan kesihatan yang holistik dan terbaik di negeri ini.


IJN Holdings Sdn Bhd akan bekerjasama dengan Selgate menerusi pemindahan teknologi dan kepakaran dalam aspek operasi, pengurusan hospital, sistem maklumat kesihatan, latihan sumber manusia dan jaminan kualiti.


Memorandum persefahaman (MoU) tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Noor Hisham Mohd Ghouth.


Pemeteraian memorandum itu disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu majlis di Laman PKNS, semalam.


Mohamed Azmin ketika berucap berkata, usaha strategik ini bertujuan bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti.


“Dasar proaktif kerajaan negeri dalam perkhidmatan kesihatan merupakan antara tonggak penting dalam agenda keadilan sosial.


“Justeru itu, usaha pembangunan oleh IJN Holdings dan Selgate Specialist Hospital ini bakal meletakkan Selangor sebagai salah satu pemain penting dalam penjagaan kesihatan,” katanya.


Pada masa sama, Adun Bukit Antarabangsa itu berkata, melalui Belanjawan 2017 yang telah dilaksanakan dan hampir kepada penghujungnya banyak memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap  kesihatan asas rakyat khususnya golongan B40.


“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sementara kita meraikan kemajuan perkhidmatan kesihatan dan kepakaran, kerajaan negeri akan terus menjamin penjagaan kesihatan untuk rakyat miskin dan berpendapatan sederhana,” katanya.


Hospital Pakar IJN dicetuskan bagi memenuhi permintaan penjagaan kesihatan sekaligus dilihat mampu meningkatkan jaringan penjagaan kesihatan swasta di negeri ini.


Ia merupakan sebuah hospital ‘multi-disiplin’ dengan pusat kardio yang akan dibangunkan secara berfasa dengan jumlah 259 katil.


Ia dijangka memulakan operasinya menjelang suku keempat 2020 dengan kos pembangunan sekitar RM250 juta.


Hospital tersebut akan dibina di bawah kerangka pembangunan Selgate Medical City, Seksyen 13, Shah Alam yang moden.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]