Kaji semula pangkat polis di IPD: MCPF

in Nasional by


SETIU – Jawatan dalam institusi kepolisan di negara ini perlu dinaik taraf pada semua peringkat selaras dengan fungsinya sebagai badan keselamatan utama di negara ini.


Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Wira Ayub Yaakub berkata sudah tiba masanya kerajaaan menilai semula jawatan pegawai dan anggota polis khususnya di luar bandar terutama dari segi pangkat, skop tugas, kerja serta masa.


“Kebanyakan jabatan lain contohnya jawatan bagi ketua-ketua jabatan sudah dinaik taraf ke pangkat yang lebih tinggi tetapi ketua polis daerah (OCPD) masih di tahap Deputi Superintendan Polis (DSP)…yang mana gred mereka ini juga lebih rendah berbanding dengan guru besar sekarang.


“Contohnya di daerah Setiu ini, mereka ada DSP tetapi tidak ada timbalan ketua polis daerah…hal ini bukan sesuatu yang baharu tetapi telah lama dibincangkan dan saya rasa sudah sampai masa untuk melaksanakan pangkat baharu kepada ketua-ketua polis daerah.


“Jadi saya rasa walau sekecil mana daerah berkenaan, OCPD haruslah berpangkat Superintendan dan di bawahnya harus ada timbalan dan ketua-ketua jabatan baru struktur organisasi pentadbiran itu nampak cantik, begitu juga di balai-balai yang mana harus ada penambahan anggota baharu agar mereka boleh membuat pusingan kerja secara normal,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Lawatan Penilai Anugerah Balai Polis Cemerlang MCPF 2017 di Balai Polis Sungai Tong, hari ini yang turut dihadiri Anggota Jawatankuasa MCPF Pusat Mansor Ismail, Ketua Polis Daerah Setiu DSP Zulkifli Mat Deris dan Ketua Balai Polis Sungai Tong Sarjan Mejar Mat Nawi Jusoh.


Balai Polis Sungai Tong dipilih sebagai Balai Polis Cemerlang MCPF kategori Balai Polis Luar Bandar dan Balai Polis Chendering bagi kategori Balai Polis Bandar yang mewakili Terengganu pada tahun ini.


Antara aspek dilihat dalam pemilihan balai polis berkenaan ialah hubungan polis dengan masyarakat yang menjadi faktor kepada pengurangan masalah jenayah berat dan ringan di sesebuah kawasan.


Mengulas usaha Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun untuk memerangi gejala maksiat dan judi beliau berkata usaha itu harus disahut dan disokong oleh semua lapisan masyarakat kerana gejala dadah sering membawa masalah kepada komuniti.


“Kami di MCPF akan berusaha memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat agar gejala ini dapat dibanteras sehingga ke peringkat akar umbi…masyarakat juga harus tampil memberi maklumat jika berlaku aktiviti tidak sihat ini di kawasan mereka,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]